PUCHONG – Seramai lebih 1,000 penduduk sekitar Puchong termasuk golongan asnaf dan miskin bandar menerima sumbangan hasil daging korban lembu sado menerusi Majlis Korban Perdana & Kenduri Rewang anjuran Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) dan ST Rosyam Mart, hari ini.
Kedua-dua lembu berkenaan dikenali sebagai Kiko 1.2 tan, Juara Lembu Sado tahun lalu, manakala Awang Merah, 1 tan juara bagi tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, majlis tersebut diadakan sempena sambutan ulang tahun kelima syarikat tersebut.
Jelasnya, majlis hari ini juga merupakan julung kali diadakan selepas Ikhlas.com menggalas amanah sebagai pelaksana ibadah korban secara online sejak pandemik Covid-19 empat tahun lalu.
“Kami amat bersyukur kerana tahun ini kami dapat menaja dua ekor lembu sado juara bagi memenuhi syariat Islam untuk memilih ternakan terbaik dan berkualiti tinggi terutama untuk dikongsikan bersama.
“Kami juga ingin berkongsi pencapaian ikhlas.com Qurban yang berjaya merekodkan jualan tertinggi dengan 10 ekor lembu sado pada tahun ini,” katanya ketika ditemui di Masjid Meranti, di sini hari ini.
Turut hadir, selebriti terkenal seperti Datuk Rosyam Nor dan Johan As’ari.
Antara penaja ibadah korban hari ini adalah ST Rosyam Mart dan GPM, Calpis, Lipton dan Foodpanda.
Ikhlas berharap kerjasama di antara pihaknya dengan ST Rosyam Mart akan berterusan pada masa akan datang.-MalaysiaGazette
















