Tertuduh, Jaafar Taib, 70, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun, dua tahun lalu.

MELAKA – Seorang warga emas yang juga pesakit jantung dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun, dua tahun lalu.

Tertuduh, Jaafar Taib, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Haderiah Siri.

Mengikut pertuduhan, pesara itu didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun dengan cara meraba kemaluan dan payudaranya bagi tujuan seksual.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Klebang dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 2 petang awal Februari 2023.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan jaminan namun menawarkan RM20,000 berserta syarat tambahan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Peguam Kent Tan yang mewakili bapa kepada lima anak itu bagaimanapun memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mengidap sakit jantung dan darah tinggi.

Hakim Haderiah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah, melapor diri setiap bulan di balai polis terdekat dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Kes akan disebut pada 16 Julai untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast