Ketua Pegawai Pengawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) , Zulkarnain Mohd Yasin bercakap pada sidang media selepas selesai sesi taklimat kepada pihak media mengenai isu Mobile Phone Data (MPD) Collection di MCMC Tower 1, Cyberjaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 9 JUN 2025

CYBERJAYA – Data telefon bimbit (MPD) yang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) kerana tidak mendedahkan maklumat peribadi pengguna.

Timbalan Pengarah Urusan SKMM, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin berkata, pengumpulan data cara baharu ini hanya melibatkan pengguna tanpa nama dan butiran peribadi.

“Kalau kita lihat memang tidak ada nama. Surat yang kami keluarkan kepada penyedia perkhidmatan kami nyatakan khusus data yang diberikan mestilah diberikan tanpa nama. Tidak ada unsur yang boleh mengenal pasti tentang individu, tidak nama, tidak ada nombor kad pengenalan atau alamat.

“Tidak perlu keraguan tentang aspek maklumat peribadi, tidak ada maklumat peribadi yang akan dikongsikan.

“Kita (SKMM) tidak berhasrat (untuk) mengetahui keberadaan seseorang individu itu, ke mana dia pergi, di mana dia menginap, tidak. Itu bukan tujuan MPD,” katanya ketika ditemui selepas pada Sesi Taklimat MPD dan Kepentingan Kepada Negara di Menara SKMM di sini.

Beliau menangkis dakwaan cara berkenaan berisiko melanggar hak privasi dan berisiko mendedahkan data peribadi pengguna syarikat telco.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, tiada lokasi pengguna dikongsikan menerusi data berkenaan.

Sebaliknya, ia merupakan  lokasi pemancar syarikat telco yang terlibat.

Pada sidang media itu, beliau sekali lagi menegaskan MPD cara baharu mengumpul data statistik perancangan dasar kerajaan yang harus disokong.

“Tujuan MPD adalah untuk data statistik, (ia) bentuk baharu mendapatkan maklumat statistik.

“Jika dulu melalui survei (kajian) (tapi sekarang ditransformasikan dalam bentuk digital dan big data analitik. Ini adalah transformasi besar dalam cara pengumpulan data yang harus kita sokong,” menurutnya.

Sebelum ini, SKMM mempertahankan arahannya yang mewajibkan syarikat telekomunikasi menyerahkan data semua panggilan telefon bimbit dibuat dari Januari hingga Mac.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan berita  South China Morning Post yang memetik sumber industri mendakwa Putrajaya mengarahkan syarikat telekomunikasi menyerahkan rekod terperinci panggilan telefon dan penggunaan internet sebagai sebahagian daripada peluasan kawalan aktiviti dalam talian.

Mengulas lanjut katanya, data berkenaan akan diberikan kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk tujuan statistik dan inisiatif kerajaan.

“Dari segi pengguna (cara ini) menyingkatkan masa sebagai contoh jika dahulu kajian memerlukan 30 soalan (tetapi) melalui MPD mungkin 10 soalan sudah mencukupi memenuhi keperluan statistik tersebut.

“MPD kita lihat aspek pentingnya adalah data tanpa nama. Standard ditetapkan ditetapkan United Nation (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB).

“MPD akan memberikan makkumat yang lebih tepat setakat ini bukan semua boleh lihat data dari aspek negara dan negeri tetapi rangka kerja (secara) insklusif yang penting tidak ada sesiapa yang tertinggal,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast