Gambar hiasan.

(KEMAS KINI)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bekas pengendali Menara KL dan syarikat induknya, Hydroshoppe Sdn. Bhd. untuk memulakan prosiding komital terhadap lapan individu termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Kerajaan Malaysia.

Menara KL Sdn. Bhd. (MKLSB)dan Hydroshoppe memohon tindakan menghina mahkamah terhadap semua pihak kerana didakwa mengganggu pentadbiran keadilan di tengah-tengah prosiding tindakan saman yang masih berjalan.

Hakim Roz Mawar Rozain berpuas hati, kedua-dua pemohon gagal melepasi `ambang’ (threshold) yang mewajarkan permohonan menghina mahkamah dibenarkan.

Beliau berkata, mahkamah berpuas hati, pihak pemohon gagal membuktikan prima facie untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital terhadap kelapan-lapannya.

Beliau seterusnya berkata, mahkamah tidak yakin dengan dakwaan Hydroshoppe bahawa pihak berkuasa telah menceroboh hartanya, walhal kontraknya dengan kerajaan tamat pada 31 Mac lalu.

Mahkamah turut memerintahkan MKLSB dan Hydroshoppe membayar kos berjumlah RM25,000 kepada semua responden.

Peguam yang mewakili Hydroshoppe Sdn Bhd, Vinayak Sri Ram ketika keluar diperkarangan mahkamah berikutan keputusan permohonan Hydroshoppe untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap kerajaan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan tiga pihak lain dalam saman berhubung penamatan perjanjian pengendalian Menara KL di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 9 JUN 2025.

Pada prosiding sama, hakim berkenaan menolak permohonan injunksi interparte oleh kedua-duanya terhadap lima pihak untuk menghalang penyerahan konsesi Menara KL kepada LSH Service Master Sdn Bhd.

Mahkamah kemudian memerintahkan kedua-dua syarikat membayar RM20,000 kepada kerajaan serta sejumlah RM20,000 kepada LSH Service Master Sdn Bhd, LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd.

Hakim Roz Mawar kemudian menetapkan 14 Julai ini bagi mendengar permohonan lima pihak untuk membatalkan saman yang dikemukakan oleh Hydroshoppe dan MKSB.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly (kiri) dan Zetty Zurina Kamaruddin ketika keluar diperkarangan mahkamah berikutan keputusan permohonan Hydroshoppe untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap kerajaan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan tiga pihak lain dalam saman berhubung penamatan perjanjian pengendalian Menara KL di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 9 JUN 2025.

Pada prosiding hari ini, peguam Vinayak Sri Ram mewakili Hydroshoppe dan MKLSB manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly hadir bagi pihak Kementerian Komunikasi dan kerajaan.

Sementara itu, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili LSH Service Master, LSH Best Builders dan Service Master.

Pada 27 Mac lalu, Hydroshoppe (plaintif pertama) dan MKLSB (plaintif kedua) menyaman lima pihak termasuk Fahmi bagi menuntut ganti rugi RM1 billion berhubung penamatan perjanjian pengendalian Menara KL.

Dalam pernyataan tuntutannya, kedua-dua plaintif mendakwa Hydroshoppe sebelum ini dilantik oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) mengendalikan menara itu.

Dakwa plaintif, kerajaan menamatkan perjanjian tersebut secara salah pada November 2022 dan memberikan konsesi pengurusan menara itu kepada LSH Service Master.

Pernyataan tuntutan itu menyatakan, Hydroshoppe dan anak syarikatnya memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan perjanjian 2022 yang dimeterai dengan kerajaan sebagai masih sah dan mengikat.

Menurut pernyataan itu, plaintif-plaintif berkata, mereka masih berhak mendapat konsesi menara selama 30 tahun mulai 31 Disember 2022.

Pada 31 Mei lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan MKLSB dan Hydroshoppe untuk mendapatkan injunksi ad interim untuk menghentikan penyerahan konsesi Menara KL kepada LSH Service Master. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast