Salah seorang pembeli unit Projek Rumah Makmur di Kampung Tiram menunjukkan projek yang dilihat terbengkalai, ketika ditemui di sini hari ini

KUANTAN – Pembeli unit Projek Rumah Makmur Kampung Tiram di sini kecewa mendapati rumah yang dijanjikan siap tiga tahun lepas kini terbengkalai dan terbiar.

Salah seorang daripada mereka, Muhammad Shafiq Mohd Zaki, 36, berkata, dia sudah mula membuat pembayaran sewa rumah sebanyak RM200 sebulan sejak tahun 2023 namun rumah yang dibeli itu belum boleh diduduki.

“Kalau kita tengok, fasa 1 pun tak siap lagi. Kita difahamkan projek ni ada tiga fasa. Jadi, kita nak bertanya kenapa projek ini terlalu lambat untuk disiapkan. Kalau nak guna alasan Covid-19, pandemik itu pun dah lama habis. Kalau nak guna alasan musim tengkujuh monsun pun, tempat lain pun sama juga.

“Tapi seperti yang kita tengok kat belakang ini, pekerja pun tiada. Jadi, kita risau. Sebab pembayaran kita dah mula dan bank sudah mula potong gaji kita. Jadi, rugi untuk kami.

“Nak kena bayar rumah sewa lagi, rumah ini lagi. Cukai tanah lagi. Ada pembeli yang sampai dua kali sudah bayar cukai tanah tapi rumah masih tak nampak bayang,” katanya.

Muhammad Shafiq Mohd Zaki

Shafiq berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di tapak Projek Rumah Makmur Kampung Tiram di sini hari ini.

Shafiq pernah mengajukan perkara tersebut kepada pihak yang berkaitan namun belum mendapat sebarang maklumbalas mengenai punca projek itu tergendala.

“Kita ada hantar emel kepada pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertanyakan hal ini tapi tiada maklumbalas.

“Selain tu, kita bertanya kepada pemaju. Seperti biasa, jawapannya kalau tak hujung tahun, awal tahun tapi tahun bila tu tak tahulah,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi pembeli, Mohamad Nabil Fikri Mohamad Najib, 39, juga meluahkan keluhan sama ekoran terbeban dengan kos berganda sewa rumah yang terpaksa dikeluarkan secara bulanan.

Dia pada asalnya tertarik dengan rekaan unik unit rumah tersebut yang dibina tinggi dengan harga murah yang ditawarkan lalu membuat permohonan pembelian sekitar tahun 2016.

Namun ia kini menjadi beban buatnya kerana perlu membayar kos rumah sewa di Indera Mahkota selain membayar sebanyak RM200 sebulan untuk unit rumahnya yang masih terbengkalai di sini.

Mohamad Nabil Fikri Mohamad Najib

“Projek ini sampai sekarang tak siap-siap. Sebelum ni diberitahu sepatutnya siap pada tahun 2024. Tapi tiada perkembangan. Saya dapati pembinaan berhenti pada tahun 2024 pada bulan Jun sampai sekarang.

“Jadi membebankan sebab kena bayar rumah sewa, rumah ni lagi dan cukai tanah lagi. Sudah menjadi dua ke tiga kali ganda kena keluarkan duit setiap bulan,” katanya.

Justeru kedua-dua mereka menyeru agar pihak berkaitan dapat menyelesaikan isu berhubung kelewatan siap projek terbabit selain turut memohon campur tangan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Sebagai rekod, Projek Rumah Makmur Kampung Tiram dimajukan di atas tanah berkeluasan 40.4 hektar melibatkan 635 unit rumah berkeluasan 800 kaki persegi dengan fasa pertama dikatakan diap pada tahun 2022 melibatkan 100 unit rumah.

Projek berkenaan dijual pada harga RM80,000 seunit serta dikhususkan untuk rakyat berpendapatan RM5,000 sebulan ke bawah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast