PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi akan meminta penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbabit untuk menambah baik capaian di Hospital Putrajaya, di sini, yang dikatakan bermasalah di sayap baharu fasiliti perubatan itu.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau telah meminta syarikat terbabit untuk datang ke lapangan dan memastikan perkhidmatan mereka tidak terjejas.
“Saya sendiri mendengar penjelasan daripada pihak pengurusan Hospital Putrajaya tentang status dan keadaan liputan internet di fasiliti perubatan itu.
“Rata-rata mereka berpuas hati capaian internet liputan mudah alih, tapi di sayap baharu, mereka mengatakan ada sedikit masalah dengan salah satu dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
“Syarikat telco (telekomunikasi) itu akan diminta untuk datang dan membantu memaksimumkan perkhidmatan mereka,” katanya kepada pemberita di lobi Hospital Putrajaya, di sini, hari ini. – MalaysiaGazette
















