KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan susulan tragedi kemalangan bas yang setakat ini mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan, sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
“Salam takziah untuk keluarga mangsa kemalangan yang turut membabitkan warga UPSI awal pagi tadi,” katanya menerusi hantaran ringkas di Facebook beliau sebentar tadi.
Terdahulu, seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut dan tujuh parah apabila bas yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke universiti itu terbabit dalam kemalangan di Jalan Jeli – Grik berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi tadi.
Seramai 13 pelajar itu meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi mangsa maut di Hospital Grik.
Kemalangan yang dipercayai berlaku sekitar pukul 1 pagi tadi turut membabitkan sebuah kereta. – MalaysiaGazette















