KUALA LUMPUR – Seorang pemandu bas ekspres ditahan selepas didapati positif dadah jenis morfin, hasil pemeriksaan Ops Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Plaza Tol Gombak, di sini, hari ini.
Pengarahnya, Hamidi Adam berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, pemandu terbabit dalam perjalanan dari Lumut, Perak menuju ke Kemaman, Terengganu.
“Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah memeriksa seramai 44 pemandu, dari jumlah itu seorang didapati positif (morfin) iaitu pemandu bas ekspres berusia 30-an.
“Bas ekspres itu sudah bergerak ke destinasinya dan dibawa pemandu kedua yang didapati bebas daripada bahan terlarang itu,” katanya pada sidang media di Plaza Tol Gombak, di sini, hari ini.

Ops HRAA 2025 JPJWPKL hari ini melibatkan seramai 89 anggota dan pegawai penguatkuasaan termasuk AADK (10), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) (5), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) (20) serta JPJ (54).
Hamidi berkata, sehingga jam 5.30 petang tadi, sebanyak 620 kenderaan diperiksa dan dari jumlah itu, sebanyak 60 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
“Ia melibatkan notis P22 (109), notis 61(1) (19 notis), notis 63(1), (82(1) 11 notis) dan jumlah keseluruhan notis sebanyak 139 notis.
“Antara kesalahan itu ialah tiada lesen memandu (28), cukai jalan tamat tempoh (33), insurans tamat tempoh (28), ubah suai tidak dibenarkan dan menyalahi peraturan (1), nombor pendaftaran meragukan (10), kesalahan cermin gelap (15) serta lain-lain kesalahan teknikal,” katanya.
Selain itu, katanya, MOTAC menjumpai dua kenderaan persiaran yang menyalahi peraturan kerana tidak menggunakan khidmat pemandu pelancong.
“Kedua-dua pemandu kenderaan persiaran itu diambil keterangan oleh pihak MOTAC dan selepas ini MOTAC akan memanggil pemilik bas persiaran tersebut untuk hadir bagi memberi keterangan,” katanya.
Selain itu, katanya, JSPT pula telah memeriksa sebanyak 312 kenderaan di mana 71 notis telah dikeluarkan setakat jam 5.30 petang tadi.
“Ops Khas HRAA adalah bukti komitmen JPJWPKL dalam memastikan keselamatan seluruh pengguna jalan raya.
“Pencapaian ini menjadi asas kepada usaha berterusan untuk mempertingkatkan standard keselamatan serta kecekapan operasi demi mencapai matlamat pandu cermat, sampai selamat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















