KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyalurkan bantuan kewangan tambahan kepada semua mangsa kemalangan bas yang menbawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, kelmarin.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bantuan tambahan sebanyak RM10,000 diberikan kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban manakala mangsa yang cedera akan menerima bantuan tambahan sebanyak RM5,000 pada kadar segera.
“Perdana Menteri telah memaklumkan kepada seluruh barisan Jemaah Menteri bahawa kerajaan akan menyalurkan bantuan tambahan sebagai tanda keprihatinan terhadap mangsa tragedi tersebut,” katanya dalam sidang media mingguan, hari ini.
Dalam kejadian awal pagi Isnin lalu, sebuah bas sewa khas yang membawa 48 pelajar UPSI dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak, terbabas dan terbalik sebelum melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di laluan JRTB.
Seramai 15 pelajar maut manakala 33 lagi cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta empat orang dalam MPV terbabit.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, selain bantuan kewangan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengarahkan Jabatan Peguam Negara untuk meneliti aspek perlindungan insurans bagi memastikan mangsa dan waris mereka mendapat pampasan yang sewajarnya.
Tambah beliau, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) penuntut yang maut akan dilupuskan. -MalaysiaGazette
















