GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng menyelar kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohd Zuhdi Marzuki yang menggesa Kerajaan Persekutuan membatalkan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang.
Menurutnya, kenyataan tersebut amat mengecewakan memandangkan projek LRT itu telah pun menunjukkan kemajuan ketara dan sangat penting bagi pembangunan negeri.
Sze Zeng berkata, projek LRT Pulau Pinang bukan sekadar kemudahan pengangkutan tetapi turut merangkumi aspek peluang pekerjaan, pengukuhan bakat tempatan, serta limpahan ekonomi yang akan memanfaatkan pelbagai sektor.
“Langkah ini sebagai bukti jelas komitmen kerajaan untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang kritikal serta merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
“Justeru tindakan Pas dilihat cuba menyekat pembangunan negeri lain sedangkan negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi.
“Statistik tahun 2023 menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita bagi negeri-negeri seperti Kelantan (RM16,836), Perlis (RM24,004), Kedah (RM26,353) dan Terengganu (RM31,111) jauh di belakang berbanding Pulau Pinang yang mencatatkan RM72,586,” katanya dalam kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Tangguh projek LRT P.Pinang, naik taraf jalan Gerik-Jeli – Pas
Dalam pada itu, Joshua menegaskan Kerajaan Perpaduan tidak pernah menyekat pembangunan negeri yang ditadbir pembangkang malah giat menyalurkan bantuan dan melaksanakan projek infrastruktur.
Beliau memberi contoh pelancaran inisiatif bas awam BAS.MY di Alor Setar yang mula beroperasi pada 1 Jun lalu dengan menyediakan 44 hentian dan tambang percuma untuk golongan warga emas, OKU serta pelajar yang layak.
“Selain itu, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga mencatat kemajuan sebanyak 82.45 peratus sehingga April lalu, dengan pembinaan berjalan lancar melibatkan negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu.
“Ini jelas menunjukkan Kerajaan Perpaduan konsisten dalam memperjuangkan hak dan kemajuan semua rakyat tanpa mengira negeri.
“Jadi kita menyeru pemimpin Pas agar menghentikan bantahan tidak berasas dan sebaliknya memberi perhatian kepada pembangunan di negeri masing-masing. Biarlah Pulau Pinang terus mara dengan infrastruktur dan kemajuan yang sewajarnya untuk penduduk,” katanya. – MalaysiaGazette
















