GEORGETOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja susulan peningkatan nahas membabitkan kenderaan berat.
Gesaan itu disuarakan susulan nahas yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada Isnin lalu.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, kerajaan perlu komited melaksanakan langkah keselamatan lebih ketat termasuk mengharamkan perjalanan bas ekspres pada waktu malam yang berisiko tinggi akibat keletihan pemandu dan fenomena tidur mikro (microsleep).
“Statistik menunjukkan sebanyak 652 kemalangan membabitkan kenderaan berat dicatatkan dalam suku pertama 2024, dengan 287 daripadanya mengakibatkan kematian, manakala 825 kemalangan maut melibatkan lori direkodkan sepanjang 10 bulan pertama tahun ini.
“Justeru pemeriksaan fizikal bas perlu dilakukan secara berkala, selain tahap kesihatan mental pemandu juga perlu dinilai bagi menjamin keselamatan penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, CAP turut menyelar tindakan kerajaan yang hanya bertindak selepas tragedi berlaku.
Kata Mohideen, isu kemalangan kenderaan berat telah lama dibangkitkan namun tiada penyelesaian yang tuntas.
“Isu keselamatan perlu diberi perhatian khususnya berkaitan permukaan jalan raya dan lebuh raya yang tidak diselenggara dengan baik, berlubang dan pencahayaan tidak mencukupi sehingga meningkat risiko kemalangan.
“Sehubungan itu, CAP menggesa kerajaan mempertingkat penguatkuasaan undang-undang, memastikan penyelenggaraan jalan raya lebih baik serta mewajibkan pemeriksaan menyeluruh ke atas bas ekspres,” katanya.
Isnin lalu, negara dikejutkan dengan tragedi kemalangan membabitkan bas yang membawa pelajar UPSI terbabas dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, Perak
Tragedi menyayat hati itu meragut 15 nyawa pelajar UPSI, manakala 29 lagi cedera, menjadikan keseluruhan mangsa seramai 44 orang.
Daripada jumlah itu, 13 mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas berkenaan melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan MPV jenis Perodua Alza sebelum hilang kawalan dan terbabas. – MalaysiaGazette
















