KUALA LUMPUR – Pengamal media disarankan untuk membuat pemeriksaan kesihatan bagi memastikan tahap kesihatan terbaik ketika menjalankan tugasan di lapangan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil akui pengamal media negara ini komited dalam melaksanakan tugasan dan bertungkus lumus mencari maklumat serta berita yang sahih untuk masyarakat.
“Saya akui ramai juga (wartawan) yang saya lihat perlukan sedikit peringatan untuk menjaga kesihatan terutama aspek saringan bagi jantung contohnya dan juga perkara-perkara kesihatan lain.
“Kadang-kadang kita juga lupa tentang diri sendiri (kesihatan), jadi inilah sedikit peringatan yang saya nak sampaikan kepada rakan-rakan wartawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) 2025 sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di sini hari ini.
Pada masa sama, Fahmi turut menyeru semua pihak untuk menghargai tugas media yang sentiasa komited memberikan pelaporan yang tepat dan cepat masyarakat.
“Saya sangat risau kerana kita jarang memikirkan tentang pasukan (media) yang bertungkus lumus untuk mendapatkan maklumat dan berita yang sahih.
“Satu perkara yang saya harap melalui Hawana tahun ini, saya harap lebih ramai di kalangan masyarakat yang memahami dan menghargai jasa bakti pengorbanan rakan-rakan media,” jelasya.
Pada masa sama, Fahmi juga menggesa organisasi dan pengamal media memahami keupayaan dan sempadan dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) supaya teknologi itu dimanfaat sebaiknya dalam penugasan.
“Kita (perlu) fahami tentang penggunaan AI dan saya tidak percaya waktu ini yang AI mampu menggantikan wartawan tetapi para wartawan perlu memahami bagaimana AI boleh membantu kerja-kerja kita,” ujarnya.
Fahmi turut meminta beberapa siri latihan digerakkan antara GKMM dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPTAR) khususnya berkait AI dan kemahiran lain kepada pengamal media.
Beliau juga memaklumkan seramai 411 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA sejak dilancarkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada 2023. – MalaysiaGazette
















