PHNOM PENH – Kemboja secara rasmi mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Ahad bagi menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan dengan Thailand.
Perdana Menteri, Hun Manet berkata, keputusan itu dibuat demi menjaga integriti wilayah negara dan demi kepentingan terbaik rakyat Kemboja.
“Kemboja hanya menuntut keadilan, ketepatan dan kejelasan dalam penandaan sempadan dengan negara jiran, agar generasi akan datang tidak lagi berdepan dengan pertikaian berterusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pagi ini.
Pertikaian melibatkan kuil Ta Moan Thom, Ta Moan Tauch, Ta Krabei serta kawasan Mom Bei (Emerald Triangle) akan dibawa ke ICJ.
Beliau turut mengaitkan tindakan ini dengan peristiwa bersejarah pada 15 Jun 1962, apabila ICJ memutuskan untuk memihak kepada Kemboja dalam kes Kuil Preah Vihear.
“Walaupun dua peristiwa ini berlaku dalam jarak 63 tahun, semangat dan matlamatnya tetap sama,” kata Hun Manet.
Ini merupakan kali ketiga Kemboja membawa isu pertikaian sempadan ke ICJ, selepas tindakan serupa pada tahun 1962 dan 2013 berhubung wilayah sekitar Kuil Preah Vihear.
Dalam kedua-dua kes terdahulu, mahkamah PBB itu membuat keputusan menyebelahi Kemboja.
Kemboja menegaskan, komitmennya untuk merujuk isu itu ke ICJ, walaupun tanpa persetujuan Thailand.
Keputusan unilateral itu dibuat ketika rundingan Keenam Jawatankuasa Sempadan Bersama Kemboja-Thailand (JBC) sedang berlangsung di Phnom Penh.
Mesyuarat itu dijadual disambung semula pada Ahad selepas sesi dialog pertama pada Sabtu.
Kedua-dua negara kini terperangkap dalam pertikaian tegang susulan insiden tembakan antara pasukan sempadan Kemboja dan Thailand pada 28 Mei lalu di wilayah utara Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja. – Bernama
















