KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Israel menyerang beberapa negara termasuk Iran sebagai biadab dan ganas.
Perdana Menteri berkata, dunia antarabangsa perlu bersatu mendesak rejim Zionis menghentikan serangan agar keamanan dapat segera dicapai di Timur Tengah.
Kempen ketenteraan yang membabitkan serangan ke atas enam hingga tujuh negara oleh Israel menimbulkan keresahan global dan mendorong Iran untuk bertindak balas bagi mempertahankan kedaulatannya.
“Yang pertama kita harus tahu, bagaimana boleh satu negara secara biadab dan ganas menyerang semua negara-negara di (sekitar) Iran. Sebab itu kita faham mengapa Iran terpaksa serang balas untuk mempertahankan negara mereka.
“Namun kita bersetuju dan menggesa semua pihak, termasuk negara-negara Eropah dan Amerika, untuk bekerja secara bersama dalam menekan Israel menghentikan pencerobohan, supaya Iran juga dapat menghentikan serangan balas,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Pada Jumaat lalu, Israel menerusi ‘Operation Rising Lion’ menyerang Iran dengan memberi alasan untuk menghapuskan progran nukear negara itu.
Berikutan itu, Iran melakukan serangan balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu secara besar-besaran ke atas rejim Israel dalam operasi yang digelar “True Promise III” (Janji Benar III).
Sejak itu kedua-dua negara berbalas serangan yang menyaksikan beratus-ratusnya warga kedua-dua pihak terkorban dan cedera.
Mengulas kesan konflik Timur Tengah terhadap Malaysia, termasuk sektor minyak dan gas, Anwar menjelaskan, perbincangan telah diadakan dengan pihak berkepentingan termasuk Setiausaha Agung OPEC dan syarikat tenaga utama seperti Petronas, Eni dan Aramco.
“Mereka sedang memantau situasi dengan rapat tetapi setakat ini, ia tidak memberi kesan ketara kepada industri dan mekanisme harga minyak global. Kita berharap keadaan akan diselesaikan lebih awal,” katanya.
Sementara itu, Anwar menepis dakwaan bahawa rasionalisasi subsidi RON95 akan membebankan majoriti rakyat Malaysia.
“Saya ingin tegaskan, tiada masalah dengan harga minyak RON95 yang disubsidi ini. Ia tidak menjejaskan 85-90 peratus rakyat kita seperti yang didakwa.
“Apa yang dikatakan oleh sesetengah pihak adalah gimik yang berani-berani untuk menunjukkan seolah-olah rakyat sedang menderita.
“Sebenarnya lebih banyak berita negatif yang dimainkan sedangkan kita perlukan naratif positif untuk membantu ekonomi negara,” ujarnya.
Anwar menegaskan, kerajaan tetap meneruskan langkah rasionalisasi subsidi bahan api sebagai sebahagian daripada strategi fiskal negara.
“Adakah kita akan lakukannya? Ya, kita akan lakukannya. Kerana rasionalisasi subsidi adalah sesuatu yang kritikal bagi negara kita,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















