TIGA saintis muda tempatan yang bakal menghadiri Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 yang berprestij di Jerman, hujung bulan ini.

KUALA LUMPUR – Seramai tiga saintis muda cemerlang mengharumkan nama negara di pentas sains antarabangsa selepas terpilih menghadiri Mesyuarat Nobel Laureate Lindau ke-74 yang berprestij di Jerman hujung bulan ini.

Mereka ialah calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Gunaan melalui Penyelidikan (Kimia Gunaan) dari Universiti Teknologi Petronas, Nur Diyan Mohd Ridzuan, 30; Pensyarah Kanan di Bahagian Teknologi Bioproses, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM), Ts Dr Ana Masara Ahmad Mokhtar, 34, dan Pensyarah di Jabatan Kimia Farmaseutikal, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr Mak Kit Kay, 33.

Mesyuarat yang dijadual berlagngsung bermula 29 Jun hingga 4 Julai itu akan menghimpunkan Pemenang Anugerah Nobel bersama saintis generasi baharu.

Pada tahun ini, mesyuarat itu akan memfokuskan kepada bidang kimia dan dijangka menghimpunkan kira-kira 35 Penerima Hadiah Nobel serta lebih 600 saintis muda dari 84 buah negara.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menyifatkan penyertaan tiga saintis muda negara berkenaan sebagai satu peluang transformatif untuk para saintis muda negara, selain bukti keupayaan bakat tempatan bersaing di pentas antarabangsa.

Katanya, ia selaras dengan komitmen Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam membina generasi saintis masa depan melalui pelaburan jangka panjang dalam pembangunan bakat STEM.

“Kami percaya interaksi dengan pemikir dan penerima Hadiah Nobel akan memperluas horizon para penyelidik muda negara, dan memberi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk menyertai bidang sains, teknologi dan inovasi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan MOSTI hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata, usaha berterusan menghantar saintis muda negara ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau setiap tahun adalah bukti komitmen ASM dalam melahirkan bakat saintifik bertaraf dunia.

Jelasnya, saintis muda negara berpeluang memperkenalkan penyelidikan dan kepakaran mereka dalam mesyuarat itu, yang mungkin dapat membuka peluang kerjasama bersama saintis di fasiliti bertaraf dunia.

“Perlu dinyatakan kebanyakan saintis-saintis ternama dunia pernah menghadiri Mesyuarat Nobel Laureate Lindau pada peringkat awal kerjaya mereka, termasuk Jaringan Pakar ASM,” katanya.

Mesyuarat Nobel Laureate Lindau yang diasaskan pada 1951 menggalakkan dialog antara generasi, disiplin sains dan budaya selama lebih 70 tahun.

Mesyuarat tahunan itu memberi fokus kepada sesuatu disiplin secara bergilir-gilir dan berperanan sebagai platform unik bagi saintis muda yang berpotensi untuk berinteraksi dengan penerima Hadiah Nobel melalui aktiviti syarahan, perbincangan panel dan sesi santai.

Program selama seminggu itu membentangkan penyelidikan perintis Penerima Anugerah Nobel, perbincangan untuk dialog interaktif serta perbincangan panel yang menyentuh isu-isu global yang mendesak.

Acara itu turut menyediakan pelbagai peluang menjalinkan rangkaian, membolehkan saintis muda berkongsi penyelidikan dan membina hubungan kolaboratif bersama rakan serta mentor dari seluruh dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast