Mohd Na’im menyantuni Kiah yang mewakafkan tanahnya bagi pembinaan Surau Al-Munawwarah di Perkampungan Orang Asli Bukit Seraya, Jasin, Melaka.

JASIN – Status bukan Islam tidak menghalang seorang wanita untuk mewakafkan sebidang tanah pusaka peninggalan datuknya bagi pembinaan sebuah surau di Perkampungan Orang Asli Bukit Seraya di sini.

Orang Asli daripada suku Temuan, Kiah Atong, 64, berkata, dia terpanggil untuk memberikan tanah berkeluasan hampir 400 meter persegi itu kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) selepas terdengar mereka sedang mencari tanah untuk membina surau di kampung itu.

“Malangnya, tiada tanah penduduk di sini yang sesuai untuk dibina surau kerana kedudukannya yang curam dan sebagainya membuatkan saya terfikir untuk memakafkan tanah ini.

“Cuma saya minta binakan sebuah rumah lain di sebelah surau kerana rumah saya sedia ada pun kecil dan tidak mampu lagi menampung lima anak dan sembilan cucu jika semuanya berkumpul,” katanya.

Kiah Atong

Dia ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar di Surau Al-Munawwarah kampung berkenaan di sini, hari ini.

Menurut Kiah, setakat ini hanya anak sulungnya yang berusia 50 tahun memeluk Islam bersama dan enam daripada sembilan cucunya.

“Apabila terbinanya surau ini sejak Februari lalu, saya lihat kampung ini lebih meriah dengan aktiviti walaupun hanya kira-kira lima buah keluarga sahaja Orang Asli di sini beragama Islam.

“Mungkin inilah kebaikannya apabila surau ini dapat menjadi medan aktiviti yang dapat mengeratkan lagi hubungan penduduk kampung, ” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast