KUALA LUMPUR – Hampir 40 peratus tenaga kerja negara ketika ini masih berada di luar perlindungan persaraan secara formal.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ahmad Zulqarnain Onn berkata, mereka termasuk kumpulan pekerja gig, individu yang bekerja sendiri dan pekerja dalam bidang bukan tradisional lain.
Menurut beliau, situasi itu bukan semata-mata membabitkan jurang polisi, tetapi merupakan risiko sosial yang mana semakin tinggi jangka hayat seseorang, kos untuk kelangsungan hidup juga meningkat.
“Ketika kita berdepan dengan realiti jangka hayat yang lebih panjang, kos sara hidup yang meningkat dan corak kerja yang berubah, sistem persaraan kita juga mesti turut seiring berkembang.
“Di KWSP, kami komited untuk menilai semula asas persaraan iaitu daripada cara orang menyimpan, kepada cara mereka mengeluarkan simpanan persaraan dan mengekalkan gaya hidup sepanjang hayat yang lebih panjang,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pembukaan International Social Wellbeing Conference (ISWC) 2025 di sini, hari ini.
Ahmad Zulqarnain berkata, jangka hayat rakyat Malaysia ketika ini meningkat daripada 54 tahun pada 1950-an kepada 75 tahun hari ini dengan jangkaan boleh mencecah 81 tahun menjelang 2050.
Jelasnya, meskipun situasi itu mencerminkan kemajuan negara dalam bidang kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan secara keseluruhan, namun ia turut hadir bersama tanggungjawab memastikan rakyat lebih bersedia dari segi kewangan dan sosial untuk meneruskan kehidupan pada tahun-tahun yang lebih panjang.
“Kita mesti mengakui hakikat yang mana sistem kita sekarang dibina pada zaman di mana jangka hayat lebih pendek, kerjaya adalah linear dan kebanyakan orang kekal dalam pekerjaan atau sektor yang sama sepanjang hayat bekerja mereka.
“Hari ini, keadaan itu tidak lagi mencerminkan realiti kehidupan dan pekerjaan,” katanya.
Disebabkan itu, ujar beliau, agenda reformasi KWSP kini tertumpu kepada memodenkan penyelesaian persaraan dan meluaskan perkhidmatan supaya sistem yang ada mencerminkan kepelbagaian pekerjaan, peringkat kehidupan dan keperluan individu yang semakin berkembang.
Jelasnya, KWSP percaya pilihan kewangan yang dibuat hari ini akan menentukan kualiti hidup pada masa akan datang dan dengan sistem serta pengetahuan yang betul, orang ramai boleh diberi kuasa untuk merancang masa depan mereka dengan yakin.
“Dalam masa sama, keselamatan persaraan perlu dilihat daripada sudut yang lebih luas, bukan sekadar simpanan.
“Ia berkait dengan memperkukuhkan asas kesejahteraan jangka panjang termasuk akses kepada penjagaan kesihatan yang mampu milik, gaji yang adil dan saksama, infrastruktur digital yang inklusif dan rangka dasar yang menyesuaikan diri dengan keperluan yang berubah-ubah,” katanya. – MalaysiaGazette
















