PASIR GUDANG – Seramai 27 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan manakala tiga premis perniagaan warga asing diarah tutup dalam satu operasi yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).
Menurut kenyataan MBPG, operasi bersepadu bersama-sama Jabatan Imigresen Johor itu membabitkan pemeriksaan ke atas 21 premis perniagaan yang dikendalikan warga asing di sekitar daerah ini.
“Hasil pemeriksaan pada Isnin, seramai 27 orang pendatang tanpa izin iaitu terdiri daripada 17 lelaki dan 10 wanita.
“Seramai 60 orang yang diperiksa di bawah Akta Imigresen 1959/63 Seksyen 6(1)(c) atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu hari ini.
Selain itu, MBPG turut mengambil tindakan penutupan terhadap tiga premis yang dikesan beroperasi tanpa lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan.- MalaysiaGazette
















