Cikgu Lo Kwan Fong.

JOHOR BAHRU – Polis buntu untuk mengesan waris mendiang Lo Kwan Fong yang ditemui mayatnya sudah reput di rumahnya di Bandar Selesa Jaya, Skudai di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya kini mendapatkan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menjejaki ahli keluarga guru tersebut.

Katanya, usaha itu bagi melancarkan proses tuntutan jasad mangsa yang dalam keadaan reput dan masih berada di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

“Setakat ini, jasad mangsa yang dipercayai mati kira-kira sebulan lalu masih berada di HSA dan belum ada waris terdekat yang tampil untuk menuntutnya.

“Ada pihak sekolah yang tampil untuk menuntutnya mayat mangsa namun kita tak boleh benarkan, kita kena kesan waris terdekat dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Kelmarin portal ini melaporkan seorang guru wanita ditemui mati dalam rumahnya selepas jiran terhidu bau busuk sebelum membuat laporan di Balai Polis Nusa Bestari Khamis lalu.

Siasatan mendapati wanita berkenaan yang tinggal seorang diri dan tidak berkahwin dipercayai telah meninggal dunia dalam anggaran tempoh sebulan.

Wanita tersebut merupakan anak tunggal dan ibu bapanya telah meninggal dunia sejak beberapa tahun yang lalu.

Hasil bedah siasat yang telah dijalankan oleh doktor pakar forensik HSA mendapati punca kematian unascertained (advance decomposition).

Kumarasan berkata, siasatan awal mendapati mangsa jarang bercampur dengan jiran-jirannya.

“Keadaan rumah mangsa juga semak dan dipenuhi dengan botol dan tin minuman. Mangsa dipercayai jarang meninggalkan rumahnya.

“Hasil siasatan juga mendapati tidak ada unsur jenayah berkaitan kematiannya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast