JOHOR BAHRU – Sebuah pertubuhah bukan kerajaan, Persatuan Pemuda, Puteri Malaysia Bersatu (Perimau Malaysia) meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim menangguhkan dahulu peluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana akan memberi kesan yang besar terhadap kehidupan serta ekonomi rakyat.
Presidennya, Mohd Ridhwan Othman berkata, Perimau Malaysia dan majoriti rakyat mempunyai harapan tinggi supaya Perdana Menteri dapat memberi pertimbangan sewajarnya terhadap keputusan itu.
“Kita sedia maklum bahawa percukaian ini akan mengalami percukaian berlapis-lapis yang akan dikenakan kepada pengeluar dan kos ini akan diserap kepada pengguna.
“Ini akan meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat yang sememangnya sudah terkesan dengan kenaikan kos sara hidup masa kini, termasuk penarikan pelbagai subsidi oleh pihak kerajaan baru-baru ini.
“Perkara ini akan menyebabkan infasi negara terus meningkat, sekali gus merencatkan pembelian barangan dan perkhidmatan oleh rakyat bagi semua golongan yang kini sudah terbeban dengan apa yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Justeru, beliau berharap suara rakyat di peringkat akar umbi itu didengari oleh kerajaan.
Baru-baru ini Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan kerajaan akan melaksanakan semakan kadar cukai jualan secara berskala serta perluasan SST bermula 1 Julai ini.
Barangan terpilih dan bukan keperluan akan dikenakan cukai jualan antara 5 hingga 10 peratus.
Sementara barangan keperluan seperti hasil pertanian segar, beras, minyak masak, roti, gula, ubat-ubatan dan bahan binaan akan terus dikecualikan daripada cukai.
Bagi barangan mewah seperti ketam raja, buah import, cendawan truffle, minyak pati dan kain sutera akan dikenakan cukai 5 peratus.
Barangan premium seperti basikal lumba dan antik pula dikenakan cukai 10 peratus. – MalaysiaGazette
















