KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) masih menyiasat laporan media mengenai penggunaan pelayan Nvidia AI Chips dan Nvidia AI chips dalam latihan Large Language Models (LLM) di Malaysia oleh syarikat China.
Siasatan itu melibatkan agensi-agensi yang relevan, sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau peraturan domestik.
Menurutnya, pelayan yang menggunakan cip dan cip AI Nvidia tidak diklasifikasikan sebagai barangan terkawal di bawah Akta Perdagangan Strategik Malaysia
2010 (STA 2010).
Namun, Malaysia akan bekerjasama dengan mana-mana kerajaan yang memerlukan bantuan dalam memantau perdagangan barangan sensitif di bawah kawalan eksport negara masing-masing.
Jelas MITI, berpandukan prinsip ketelusan, tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang, perniagaan termasuk pusat data yang beroperasi di Malaysia bebas membuat keputusan komersial masing-masing, selagi ia mematuhi skop undang-undang dan peraturan Malaysia.
Pembangunan dan pengawalseliaan industri pusat data dan ekosistem Malaysia juga diuruskan secara aktif dan bersama oleh MITI dan Kementerian Digital melalui Pasukan
Petugas Pusat Data.
Malaysia berpendirian teguh dan mengambil pendekatan toleransi sifar dalam menangani usaha mana-mana individu atau syarikat yang cuba memintas kawalan eksport atau terlibat dalam aktiviti perdagangan haram.
“MITI kekal komited untuk memudacara transaksi perdagangan yang sah bagi memupuk persekitaran pelaburan dan perdagangan yang selamat dan bertanggungjawab. Ini juga bagi memastikan semua pelaburan dan perdagangan berkaitan teknologi sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa serta selaras dengankomitmen yang dipersetujui secara pelbagai hala,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah MITI, Malaysia juga kekal komited dari segi pematuhan peraturan perdagangan antarabangsa dan memastikan pematuhan penuh terhadap langkah kawalan eksport global.
“Malaysia akan sentiasa bertindak tegas terhadap mana-mana syarikat yang beroperasi di sini termasuk yang terlibat dalam industri semikonduktor dan AI, yang melanggar peraturan perdagangan Malaysia dan antarabangsa.
“Walaupun Malaysia mengekalkan kedudukan neutral mengenai sekatan unilateral, syarikat yang berpangkalan di Malaysia telah dinasihatkan untuk mematuhi kawalan eksport unilateral negara lain yang terpakai kepada aktiviti perniagaan antarabangsa mereka untuk mengelakkan sebarang sekatan ke atas perniagaan mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















