JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan tidak akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengusaha dan peniaga sepanjang Ops Gasak dilancarkan.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh menjelaskan, langkah itu bagi menjawab kekeliruan dialami dalam kalangan pengusaha terbabit yang menggunakan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi namun masih belum memiliki Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).
“Setakat ini, pihak KPDN masih lagi mengumpul data dan maklum di peringkat industri khususnya melibatkan perniagaan makanan dan minuman serta dobi layan diri.
“Setakat ini, saya boleh memberi jaminan bahawa sepanjang Ops Gasak ini dilakukan, tidak ada tindakan penguatkuasaan akan diambil kepada pengusaha mikro. Ini kerana ada pihak tertentu yang membawa mesej mengelirukan kepada golongan peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Kepengkuatkuasaan Dan Advokasi Kepenggunaan di Hotel Trove, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri (KPPN) Johor, Mohd Fuzi Hadi Abd Latif.
Sejak 1 Mei lalu, KPDN mengumumkan pelaksanaan Ops Gasak bagi mengekang ketirisan serta penyelewengan tong LPG bersubsidi khususnya membabitkan industri berskala sederhana dan besar.
Selain itu, ia bertujuan membanteras penyelewengan melalui aktiviti haram decanting iaitu pemindahan LPG dari tong bersubsidi kepada tong tidak bersubsidi untuk jualan komersial dan penyeludupan.
Pelaksanaan Ops Gasak sehingga 31 Oktober depan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada di bawah PPKB (Pindaan) 2021 yang berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, sekiranya penguat kuasa KPDN turun pandang, itu lebih kepada mengutip maklumat data serta mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri di peringkat negeri.
“Kalau kita guna Ops Gasak pun kepada industri, contohnya industri hotel yang menggunakan LPG bersubsidi untuk bahagian mencuci kelengkapan hotel, ini adalah ketirisan,” katanya.
Menurut Fuziah, sesi libat tersebut antara lain bagi mengetahui kadar penggunaan harian serta kesan langsung kepada pengguna.
Katanya, penggunaan tong LPG bersubsidi melebihi 42 kilogram (kg) pada satu masa tertakluk kepada syarat memiliki PBKB bagi tujuan keselamatan.
“Dalam pindaan Akta ini, kita lihat peraturannya apabila mereka memohon permit, mereka perlu guna (LPG) tanpa subsidi. Oleh kerana itu kita kena melihat semula.
“Jadi sekarang ini kita juga akan lihat sistem dan pastikan bahawa mereka perlu memohon permit tetapi ia tidak mewajibkan mereka guna gas tanpa subsidi. Permit ni penting bagi tujuan keselamatan, sekali gus memastikan tiada ketirisan gas bersubsidi berlaku dalam industri,” katanya.- MalaysiaGazette
















