JOHOR BAHRU – Mereka yang menjadi mangsa penipuan pakej haji disaran mengemuka aduan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi tujuan menuntut pampasan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr Fuziah Salleh berkata, setakat ini kementerian tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung kes berkenaan daripada jemaah haji terbabit.
“Mangsa yang terkesan boleh membuat laporan atau aduan di mana-mana cawangan KPDN seluruh negara atau secara dalam talian.
“Mungkin pengguna tidak tahu hak mereka. Melalui TTPM, pengadu boleh membuat tuntutan sehingga RM50,000.
“Mereka ingat buat laporan polis (sahaja) cukup, tetapi mereka juga kita saran agar melaporkannya kepada TTPM,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Kepenguatkuasaan dan Advokasi Penggunaan di Hotel Trove di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri (KPPN) Johor, Mohd Fuzi Hadi Abd Latif.
Baru-baru ini, akhbar melaporkan sebanyak 47 jemaah dari Malaysia menjadi mangsa penipuan ejen haji tempatan yang dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.
Mangsa didakwa dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji.
Setakat ini pihak polis telah menahan dua invidividu bergelar ustaz bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, TTPM akan membuat penilaian secara terperinici termasuk jumlah bayaran dibuat, tawaran janji serta perkhidmatan yang sebenarnya diterima pengguna.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak teragak-agak membuat aduan sekiranya berdepan sebarang kes yang menjejaskan hak mereka.- MalaysiaGazette
















