Andasura Rabu bersama pelajar yang menyertai Kelas Tuisyen Rakyat Percuma di Indera Mahkota, di Kuantan

KUANTAN -Inisiatif tuisyen percuma kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dimanfaatkan oleh 50 pelajar melibatkan dua pusat tuisyen di lokasi berlainan di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Datuk Andasura Rabu berkata, pusat tuisyen terlibat adalah Kampung Chengal Lempung di Balok dan di Perkampungan Cenderawasih di sini.

Ujarnya kelas berkenaan bermula sejak 12 Jun lalu turut memberi peluang kepada pelajar Tingkatan 1 hingga 5 terbuka kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik keluarga.

”Kelas Tuisyen Rakyat Percuma anjuran Ameerah Indera Mahkota dan Dewan Pemuda PAS diadakan bagi pelajar di DUN Beserah dan DUN Semambu sebagai satu usaha murni untuk membantu anak-anak yang memerlukan bimbingan tambahan dalam pelajaran, khususnya dalam menghadapi cabaran akademik masa kini.

”PAS komited untuk membina generasi yang berilmu dan berakhlak mulia, ini adalah antara ikhtiar untuk memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pelajaran walaupun berdepan cabaran kehidupan masa kini.

“Saya menyeru ibu bapa, masyarakat dan para pendidik untuk bersama-sama menjayakan program ini. Jangan biarkan anak-anak kita terabai hanya kerana kekangan kewangan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya tenaga pendidik terdiri daripada enam orang guru yang berpengalaman dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan dan Pendidikan Islam.

Selain itu pelajar didedahkan pembelajaran sesi rohani bagi membentuk jati diri dan akhlak para pelajar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast