Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Padah memiliki lebih 5,000 bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan bahan lucah dewasa, seorang penuntut universiti ditahan polis dalam operasi khas yang dikenali Op Pedo.

Rampasan bahan lucah itu termasuk rakaman yang dipercayai dihasilkannya sendiri membabitkan dua sepupu bawah umur.

Memetik laporan Harian Metro, tangkapan dibuat pada 29 April lalu sekitar 4 petang di Gudang, Johor, hasil kerjasama Unit Jenayah Siber Google bersama pasukan Unit Malaysia Internet Crime Against Children (MICAC), Bahagian D11 Bukit Aman dan JSJ Kontinjen Johor.

Ketua Penolong Pengarah D11, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, suspek dipercayai mengeksploitasi secara seksual dua kanak-kanak tempatan berusia empat dan sembilan tahun yang juga sepupunya sendiri.

“Rakaman perbuatan tersebut didapati dilakukan menggunakan telefon bimbit di tiga lokasi berbeza di Selangor, Pahang dan Kelantan,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, suspek sudah dituduh di Mahkamah Johor pada 22 Mei lalu atas kesalahan memiliki CSAM dan bahan lucah dewasa, dan telah mengaku bersalah serta membayar denda RM5,000.

“Suspek turut didakwa hari ini di Mahkamah Klang berhubung kes rakaman eksploitasi kanak-kanak yang dilakukan di kediaman keluarganya di Sungai Buloh antara 2023 hingga 2025,” ujarnya.

Menurut Siti Kamsiah, dua lagi kes berasingan sedang dikaji oleh Timbalan Pendakwa Raya melibatkan insiden di sebuah ladang itik di Maran, Pahang dan sebuah rumah di Kelantan yang didakwa berlaku tahun lalu dan tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast