Anwar ketika berucap menutup Forum Nikkei Medini Johor di Sunway Bigbox, Iskandar Puteri hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun Malaysia sebuah negara kecil, ia tidak takut untuk lantang bersuara menentang kezaliman dunia terutama apabila melibatkan konflik antarabangsa.

Perdana Menteri berkata, pendirian tersebut merupakan hak Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka yang berasaskan perdagangan.

“Tiada sesiapa boleh tentukan kerjasama kita sama ada dengan Amerika Syarikat (AS), China atau Jepun, ini kerana kita merupakan negara perdagangan.

“Namun begitu, walaupun kita negara kecil, kita tidak takut dan tidak akan berdiam diri dalam isu di Gaza, Ukraine mahupun di Iran ketika ini. Kita teguh menyokong keamanan dunia,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap menutup Forum Nikkei Medini Johor 2025 di Sunway Bigbox, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han dan Duta Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata.

Forum Nikkei Medini Johor yang berlangsung selama dua hari bermula semalam bertemakan ‘Menerajui Hab Inovasi Asia’ dan menghimpunkan lebih 800 peserta dan delegasi secara kehadiran fizikal dan dalam talian.

Anwar berkata, Malaysia akan terus menjalin kerjasama ekonomi dengan negara-negara kuasa dunia walaupun negara berada dalam blok yang bertentangan.

Beliau memberitahu, sehingga kini 60 peratus produk semikonduktor serta sektor elektrik dan elektronik Malaysia dieksport ke AS.

“Jadi, walaupun berdepan tarif (dikenakan Presiden Amerika Syarikat), kita perlu kekalkan kerjasama ekonomi kukuh dengan mereka.

“Sama juga dengan China, walaupun berdepan isu ketegangan Laut China Selatan, namun kita tetap berhubungan baik sehingga Presiden China, Xi Jinping dan Premier China, Li Qiang berkunjung ke negara ini,” ujarnya.

Beliau selaku Pengerusi ASEAN berkata, sebarang hubungan kerjasama perlu dibuat secara multilateral dan bukannya unilateral.

“Buktikan bahawa jika kita kekal berbaik dengan semua negara, kita dapat memanfaatkan hubungan tersebut dalam membangunkan potensi yang ada bukan sahaja untuk komuniti perniagaan, malah juga masyarakat setempat,” katanya.

Mengimbas kembali penyertaannya dalam Forum Ekonomi Dunia di Davos baru-baru ini, Anwar berkata, menyifatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura JS-SEZ menonjol bukan hanya kerana insentif pelaburannya, tetapi kerana ia disokong oleh tadbir urus yang kukuh.

“Saya tidak berminat untuk memberi insentif baharu, kita sudah cukup memberi. Negara lain mungkin menawarkan pakej yang lebih murah. Tetapi apa yang mereka kurang ialah apa yang kita ada iaitu kestabilan politik, gabungan yang kuat dengan majoriti dua pertiga dan keberanian untuk mengakui serta membetulkan penyalahgunaan masa lalu seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast