JOHOR BAHRU – “Saya reda dengan pemergiannya. Saya syukur Allah ambilnya dengan cara lembut. Biarlah dia berehat di negeri abadi di sisi Allah, lagipun dia sudah lama menderita sakit dan hanya terbaring di katil”.
Itu luahan suami kepada penyanyi dangdut era 80-an, Zaleha Hamid, 68, susulan pemergian isterinya akibat jangkitan kuman dalam paru-paru pukul 8.30 malam tadi di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 60, berkata, isterinya sebelum ini pernah diserang angin ahmar sejak Disember 2019 dan jangkitan kuman baru-baru ini.
Katanya, dia dan anaknya bersilih ganti menjaga Allahyarhamah sepanjang tempoh itu dan tidak pernah meninggalkan isterinya bersendirian di HSA.
Menceritakan detik terakhir bersama-sama insan tersayang itu selepas lebih empat dekat berkongsi hidup, Ungku Sulaiman bersyukur dapat berada di sisinya.
“Ketika tahap oksigen semakin lemah, saya sempat bisikan kalimah syahadah ke telinganya. Pada bacaan ketiga, dia sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Masjid Al Asma’ul Husna, Tampoi di sini hari ini.
Zaleha Hamid atau nama penuhnya Siti Zaleha Abdul Hamid meninggalkan suami dan tiga anak iaitu Zalisham Samsudin, 48; Ungku Chik Zafierul Azman, 37, dan Ungku Nor Muhammad Danial, 28, termasuk enam cucu.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, di sini, selepas solat Jumaat.
Zaleha digelar Ratu Dangdut Malaysia dan Singapura dikenali menerusi lagu hitsnya seperti Dangdut Reggae, Kerana Pengalaman, Nasib Janda, Jangan Kau Tangiskan dan Kekasih di Tangan Orang.
Ungku Sulaiman menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang isteri dan ibu yang bertanggungjawab walaupun sibuk dengan kerjayanya sebagai penyanyi.
Ujarnya, rumah tangga yang didirikan sejak lebih 40 tahun dipenuhi dengan kasih sayang dan jarang bergaduh antara satu sama lain.
“Walaupun sibuk dengan kerjaya seni, tanggungjawab dia sebagai isteri dan ibu tidak pernah diabaikan. Dari urusan rumah, jaga makan pakai sehinggalah hal anak-anak semua dia buat sendiri. Tak pernah guna khidmat orang gaji.
“Itulah memori yang membuatkan saya bukan ralat tapi kenangan itu menjadikan saya rindu,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















