KOTA TINGGI – Seekor gajah liar jantan yang sebelum ini memusnahkan kawasan kebun kelapa dan buah-buahan di Desaru Fruit Farm di sini baru-baru ini berjaya ditangkap hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, pihak
Unit Tangkapan Gajah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) melakukan tangkapan itu dalam satu operasi.
“Gajah liar jantan itu ditangkap dalam Ops Translokasi di kawasan tanah Universiti Tekonologi Malaysia, Sungai Cemaran, Desaru.
“Tangkapan ini dibuat susulan operasi yang dijalankan bermula pada 16 Jun 2025 di Tanjung Sedili dan kawasan sekitarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, gajah yang ditangkap itu merupakan sebahagian daripada kumpulan utama ID Panti yang terpisah di kawasan tersebut seminggu sebelum ini.
Gajah berkenaan katanya, telah memasuki dan memusnahkan kawasan kebun kelapa dan buah-buahan di Desaru Fruit Farm.
“Kumpulan gajah ini telah mendatangkan konflik di ladang buah-buahan di sekitar Desaru Fruit Farm beberapa minggu yang lalu,” ujarnya.
Sebelum ini, pihak Desaru Fruit Farm mendakwa kejadian tersebut berlaku pada 9 Jun lalu dan telah mengakibatkan kebun mereka kerugian dianggarkan sebanyak RM50,000.- MalaysiaGazette
















