Mohd Azmi Abdul Hamid bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil kedutaan Amerika Syarikat.

KUALA LUMPUR – Ratusan peserta berhimpun secara aman di hadapan Menara Tabung Haji, di sini, hari ini sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin dan Iran yang berdepan serangan berterusan rejim Zionis Israel.

Perhimpunan anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) itu bermula di Masjid Kompleks Tabung Haji sebelum peserta berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi menyerahkan memorandum bantahan.

Kawalan keselamatan turut diperketat dengan kehadiran anggota polis bagi memastikan perhimpunan berlangsung secara terkawal dan aman.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, perhimpunan itu adalah manifestasi sikap tegas rakyat Malaysia terhadap kezaliman yang sedang berlaku di Gaza dan serangan yang dilancarkan ke atas Iran baru-baru ini.

“Perhimpunan hari ini adalah perhimpunan untuk menyatakan pendirian dan bantahan keras kita terhadap apa yang sedang berlaku. Perang ini dipaksakan ke atas Iran, sementara pembunuhan masih berterusan di Gaza, “ katanya kepada media.

Beliau menegaskan, pendirian Mapim selari dengan kenyataan Perdana Menteri yang menyifatkan tindakan Israel sebagai biadab, sekali gus menggambarkan sokongan padu rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dan Iran.

Menurut Mohd Azmi, memorandum yang diserahkan kepada Kedutaan AS itu antara lain mengandungi kecaman terhadap Washington kerana membiarkan kekejaman Israel serta mendesak agar sokongan kepada rejim itu dihentikan segera.

“Antara tuntutan yang kita bawa ialah supaya Amerika menghentikan semua bentuk bantuan ketenteraan dan sokongan politik kepada Israel.

“Kita juga mendesak agar AS memaksa Israel akur kepada undang-undang antarabangsa, serta menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin dan Iran,” katanya.

Tambahnya, memorandum itu turut menggesa agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar pasukan pengaman ke Gaza dan mendesak penamatan sekatan ke atas wilayah itu.

“Amerika bukan sahaja bersubahat tetapi turut menjadi penjenayah apabila membiarkan dan menyokong tindakan rejim Zionis.

“Kita mahu rakyat Malaysia faham bahawa isu Iran ini adalah soal kemanusiaan dan mempertahankan hak sebuah negara,” tegasnya.

“Kita akan terus menyebarkan kesedaran dan mendidik rakyat Malaysia agar tidak terpedaya dengan naratif musuh yang mahu memecahbelahkan umat Islam,” katanya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast