JOHOR BAHRU – Suasana pilu menyelubungi upacara pengkebumian penyanyi dangdut popular era 1980-an, Zaleha Hamid di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, di sini, hari ini.
Jenazah Allahyarham Zaleha selamat disemadikan pada pukul 3 petang tadi.
Ahli keluarga, saudara dan rakan Allahyarham hadir di tanah perkuburan untuk memberi penghormatan terakhir kepada pelantun lagu raya Inang di Aidilfitri dan Sesuci Air Mata Ibu.
Turut hadir Pengerusi Yayasan Artis Veteran (YKAT), Datuk DJ Dave.
Jenazah allahyarham sebelum itu dikafankan di Unit Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, sebelum dibawa ke Masjid Al Asma’ul Husna, Bandar Uda Utama untuk solat jenazah.
Jenazah disolatkan lebih 300 jemaah selepas Solat Jumaat, sebelum dibawa ke tanah perkuburan terbabit.
Pihak keluarga allahyarham juga membuat tahlil ringkas sebelum solat Jumaat berlangsung.
Pemilik nama sebenar Siti Zaleha Abdul Hamid yang berusia 68 tahun menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.30 malam di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Allahyarham meninggalkan suami, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 60 dan tiga anak iaitu Zalisham Samsudin, 48; Ungku Chik Zafierul Azman, 37, dan Ungku Nor Muhammad Danial, 28, termasuk enam cucu.
Sebelum ini, media melaporkan keadaan kesihatan Zaleha yang diserang angin ahmar sehingga koma pada 2019, kembali terjejas berikutan kandungan kalsium berlebihan dalam otak sehingga mengalami kekejangan. – MalaysiaGazette
















