Onn Hafiz, Ahmad dan Abdul Halim selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau 2025 di Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 222 projek pembangunan dan infrastruktur bernilai RM10 bilion di negeri  ini sepatutnya dilaksanakan antara 2016 hingga tahun lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, namun projek-projek berkenaan namun masih belum dilaksanakan sehingga kini walaupun sudah hampir kira-kira 10 tahun dirancangkan.

“Antaranya melibatkan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti jalan, masjid, hospital, klinik kesihatan dan sebagainya.

“Semua ini untuk rakyat tapi sampai sekarang pun belum mula. Bila saya tanya dalam mesyuarat, mereka kata jangan risau dan akan semak dengan kementerian masing-masing dan akan luluskan.

“Sebab itu, kita kena turun padang dan semak, ahli-ahli majlis, ketua-ketua kanpung dan ketua-ketua masyarakat, jangan masuk mesyuarat nak melawa sahaja. Kalau projek tak jalan, semua peruntukan ini tak diguna pakai dengan sebaiknya.

“Jika projek ini tidak dilaksanakan, bukan agensi kerajaan yang dimarahkan sebaliknya pemimpin UMNO di negeri ini,” katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau 2025 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman merangkap Ketua UMNO Bahagian Tebrau.

Onn Hafiz berkata, sudah tiba masa pemimpin-pemimpin di peringkat Pusat memberikan kepercayaan kepada kepimpinan negeri dengan meluluskan projek-projek untuk rakyat ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, kerajaan Pusat boleh menjadikan Johor sebagai perintis kepada keberkesanan cadangan tersebut.

“Jika tak nak buat satu Malaysia, jadikan Johor sebagai negeri rintis. Insya-Allah, pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor ini akan amanah, menggalas tanggungjawab itu demi agama bangsa dan tanah air.

“Saya tak suka marah orang tapi bila  bersangkut paut kemaslahatan rakyat, jangan sekali-kali uji saya. Saya akan berjuang habis-habisan untuk rakyat dan bangsa Johor, itu semangat UMNO Johor,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan pemimpin UMNO di peringkat bahagian itu berterusan turun padang bagi merasai dan menjiwa denyut nadi rakyat dan pastikan setiap usaha yang dilakukan kerajaan sampai ke peringkat akar umbi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast