LONDON – Manchester United akan mengutamakan penjualan penyerang sayapnya, Jadon Sancho secara tetap sebelum mempertimbangkan pilihan perpindahan secara pinjaman.
Pakar perpindahan, Fabrizio Romano melaporkan Napoli adalah antara kelab yang berminat namun dilaporkan tidak mampu untuk menampung gaji semasa yang dibayar oleh United.
“Rundingan masih di peringkat awal dan beberapa kelab lain turut berada dalam saingan.
Sancho baru-baru ini bersuara selepas perpindahan kekalnya ke Chelsea tidak menjadi kenyataan, apabila kelab London itu membayar £5 juta (RM28.7 juta) kepada United bagi membatalkan perjanjian pinjaman.
Pemain sayap berusia 25 tahun itu menyertai Chelsea secara pinjaman musim lalu dengan harapan menghidupkan semula kariernya selepas diketepikan di Old Trafford susulan konflik terbuka dengan bekas pengurus Erik ten Hag.
Sancho sebelum ini disisihkan selepas Ten Hag mengkritik prestasinya dalam latihan dan pemain itu membalas di media sosial dengan menyifatkan komen itu sebagai “sama sekali tidak benar”.
Dia kemudian enggan memohon maaf, menyebabkan tidak lagi diturunkan sepanjang kendalian pengurus Belanda itu.
Selepas tempoh pinjaman singkat bersama kelab lamanya, Borussia Dortmund, Sancho kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Chelsea.
Sepanjang musim 2024-25, Sancho mempamerkan beberapa detik cemerlang termasuk jaringan dalam final Liga Konferens menentang Real Betis, namun gagal mencapai tahap konsisten dengan hanya lima gol dan 10 umpanan gol dalam 42 penampilan bagi semua pertandingan.
Walaupun begitu, dia kekal popular dalam kalangan rakan sepasukan dan kakitangan, manakala pengurus Enzo Maresca turut memuji semangatnya, tetapi tetap memilih untuk menangguhkan sebarang keputusan mengenai masa depan pemain itu hingga tamat musim.
Sancho kini kembali ke United dan akan mempertimbangkan pilihan perpindahan baharu dalam dan luar negara pada musim panas ini, ketika masa depannya di Old Trafford masih belum jelas. – MalaysiaGazette















