Presiden Forum Ekonomi Wanita (WEF) Asean 2025, Datin Dr Hajah Hartini Osman (tengah) ketika ditemu ramah oleh wartawan Malaysiagazette pada majlis Forum Ekonomi Wanita Asean 2025 di Menara MITI, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 21 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Buat julung kali, Malaysia menjadi tuan rumah kepada Women Economic Forum (WEF) ASEAN 2025, satu acara bertaraf antarabangsa menghimpunkan tokoh-tokoh wanita dari serata dunia bagi memperkasakan suara dan peranan mereka dalam pelbagai bidang.

Presiden WEF ASEAN 2025, Datin Dr Hartini Osman menyifatkan penganjuran forum selama tiga hari itu sebagai sangat berjaya dan penuh bermakna bukan sahaja daripada segi pengisian tetapi sudut sokongan padu yang diterima daripada wanita tempatan dan luar negara.

“Alhamdulillah, dalam tempoh tiga hari ini, segalanya berjalan dengan lancar dan teratur. Semua sesi seperti plenari, bengkel, meja bulat dan banyak lagi dipenuhi peserta yang bersemangat serta penceramah yang sangat profesional.

“Sokongan luar biasa ini membuktikan usaha memperkasa wanita semakin mendapat tempat peringkat serantau dan global,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini di Dewan Perdana MITI di sini hari ini.

Lebih membanggakan, Hartini berkata, forum berprestij itu turut disertai delegasi dari lebih 15 negara termasuk Costa Rica, Gabon, Cameroon, Australia, United Kingdom, Brunei, Singapura, Indonesia, Vietnam, Kemboja dan lain-lain.

Katanya lagi, terdapat juga kehadiran bekas menteri luar negara yang datang atas inisiatif sendiri sebagai tanda sokongan terhadap misi WEF.

“Forum yang bertemakan kesaksamaan, kemanusiaan dan kelestarian itu turut menerima sokongan dari pelbagai agensi termasuk MITI, MARA, UniKL, UPM serta beberapa penaja korporat lain.

“Seramai 614 peserta hadir pada hari pertama manakala hari-hari seterusnya menyaksikan kehadiran sekitar 400 peserta setiap hari, angka yang sangat memberangsangkan bagi sebuah forum selama tiga hari.

“Yang paling indah, peserta tidak berganjak walaupun forum ini berlangsung selama tiga hari. Ini bukan sesuatu yang biasa dan menunjukkan minat serta komitmen tinggi terhadap isu-isu wanita,” ujarnya.

Antara topik utama yang menjadi tumpuan adalah kelestarian, keterangkuman, pendidikan, kepimpinan, inovasi, digitalisasi dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Jelas Hartini, perbincangan dirangka bagi membentuk naratif wanita masa hadapan yang lebih berdaya saing, celik teknologi, dan berperanan besar dalam pembangunan masyarakat global.

Lebih menarik, penceramah yang hadir secara sukarela tanpa sebarang bayaran malah menanggung sendiri kos perjalanan dan penginapan semata-mata ingin menyokong aspirasi memperkasakan wanita di rantau ini.

“Ini bukan sekadar forum, ia adalah satu gerakan. Kami mahu sebarkan kemanusiaan, kasih sayang dan kedamaian melalui usaha memperjuangkan suara wanita.

“Kita perlu beri ruang untuk suara-suara yang tidak pernah didengari sebelum ini agar mereka juga mendapat peluang yang sama dalam membina masa depan,” tambahnya.

Difahamkan, forum itu turut diserikan dengan kehadiran isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyampaikan ucaptama menyentuh soal kebahagiaan, kasih sayang dan kepentingan institusi kekeluargaan.

Hartini turut mengucapkan penghargaan kepada pengasas WEF global, Dr Harbeen Arora Rai atas peluang membawa edisi ASEAN ke Malaysia buat kali pertama.

“Ini adalah edisi ke-148 WEF di dunia dan insya-Allah selepas ini kami akan terus ke India, London dan Mexico. Malaysia menjadi titik permulaan kepada satu gelombang baharu dalam memperkasakan wanita ASEAN di pentas dunia,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut seorang penceramah antarabangsa, Dr Milan Devi Labrey, penganjuran forum itu luar biasa dan melebihi jangkaan daripada segi kandungan serta penyertaan wanita berpengaruh dari seluruh dunia.

“Dr. Hartini menjalankan tugas yang sangat hebat sebagai penganjur. Saya amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada acara besar ini yang menghimpunkan ramai wanita hebat dan kuat. Ia benar-benar melangkaui jangkaan saya,” katanya.

Milan turut terlibat sebagai moderator dalam beberapa sesi sepanjang forum dan antara topik utama yang diketengahkan olehnya ialah usaha membasmi kemiskinan.

Menurut beliau, isu kemiskinan global hari ini bukan lagi semata-mata soal kekurangan sumber tetapi lebih kepada masalah pengagihan tidak seimbang.

“Kita sebenarnya memiliki sumber yang mencukupi untuk dikongsi bersama tetapi kita perlukan dasar yang lebih adil, menyasarkan komuniti yang terpinggir serta mengurangkan sikap acuh tak acuh dan simpati palsu.

“Penyelesaiannya terletak pada tindakan turun ke lapangan, menyumbang kepada komuniti dan memberi ruang kepada wanita untuk memegang peranan yang lebih kuat dan berpengaruh dalam menyelesaikan isu ini,” jelasnya.

Bagi Lembaga Penasihat WEF 2025, Datin Dr Hasnorliza Abu Hassan pula menyifatkan kejayaan penganjuran forum selama tiga hari itu hasil perancangan teliti selama lebih setahun dengan kerjasama meluas daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pemain industri serta platform global G100.

Menurut beliau, usaha gigih Presiden WEF ASEAN 2025 menjadi pencetus semangat kepada pasukan penganjur untuk memastikan forum ini berlangsung secara berkesan dan memberi impak sebenar kepada pemerkasaan wanita, khususnya dalam konteks ASEAN.

“Forum ini bukan sekadar pertemuan tiga hari tetapi satu gerakan yang menghimpunkan sokongan besar dari peringkat akar umbi hingga antarabangsa.

“Ia menjadi peluang untuk wanita sedar bahawa mereka tidak keseorangan dan bahawa mereka layak untuk maju sama ada dalam kerjaya mahu pun perniagaan,” katanya.

Tambah beliau, harapan utama selepas forum agar semua wanita tidak takut untuk keluar dari zon selesa dan mengambil peluang yang ada.

Seorang usahawan berpengalaman lebih 35 tahun, Aida Murni Ismail menyifatkan WEF 2025 sebagai satu kejayaan besar yang menetapkan penanda aras baharu dalam penganjuran forum wanita bertaraf antarabangsa di Malaysia.

“Saya sendiri sudah hadiri banyak forum di banyak negara tetapi ini paling tersusun, paling meriah dan paling berjaya.

“Datin Hartini serta pasukan beliau bekerja keras selama setahun dan hasilnya kita berjaya tarik delegasi dari negara-negara yang sebelum ini tak kenal pun Malaysia,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast