Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR – Kekalahan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli sebagai Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Arau tidak akan memberi kesan kepada jawatannya.

“Atas kertas, tiada apa-apa (akan berlaku) kerana mengikut Perlembagaan tidak semestinya jawatan YDP untuk menjadi menteri besar dan pesuruhjaya.

“Tetapi saya yakin, paling tidak parti akan memberikan perhatian kepada perkembangan-perkembangan yang berlaku ini dan ia akan diambil tindakan seleps Muktamar Agung Pas Pusat nanti.

“Kalau diambil tindakan sekarang pun, kita akan berdepan dengan Muktamar Pas Pusat pada September nanti, kita tengoklah perkembangan yang berlaku,” kata Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

Namun, ulasnya, isyarat-isyarat daripada akar umbi harus diambil kira dalam apa juga bentuk kepada kepimpinan Pas Pusat.

Mengulas lanjut kekalahan Mohd Shukri, beliau berkata, Pas sentiasa mengamalkan keterbukaan kepada setiap ahli untuk membuat keputusan dalam pemilihan kepimpinan.

Menurutnya, pertandingan pemilihan Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Arau itu telah berlangsung selama sebulan setengah tetapi yang dilaporkan media adalah kekalahan menteri besar yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis.

Sedangkan, menurutnya, siri-siri mesyuarat agung parti itu turut  memperlihatkan pengunduran beberapa tokoh besar dalam parti seperti Menteri Besar Terengganu sebagai YDP Maran walaupunla Menteri Besar Kelantan dilantik sebagai YDP kawasan Pasir Mas yang baharu dan Menteri Besar Kedah pula kekal sebagai YDP lawasan Sik.

Jelasnya, yang lebih penting ialah proses pemilihan kepimpinan parti dilakukan secara tertib dan teratur.

“Tidak perlu ‘hiruk’ atau ‘damai’ dalam Pas yang berteraskan demokrasi kerana pemilihan tetap akan berlaku.

“Tidak perlu sampai kecoh-kecoh, lempar kerusi dan sebagainya,” jelasnya yang dipercayai merujuk kepada kempen oleh bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar.

Pada mesyuarat Agung Tahunan Pas kawasan Arau menyaksikan Mohd Shuki yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Perlis tewas dalam pemilihan jawatan Yang Dipertua (YDP) 2025-2027 kepada penyandang, Solahudin Azmi.

Mohd Shukri hanya meraih 43 undi berbanding Solahudin yang memperoleh 128 undi.

Pemilihan ini juga turut menyaksikan kejutan khususnya bagi jawatan tertinggi di Arau apabila tiga daripada empat Exco Perlis tewas dalam cabaran merebut jawatan YDP, timbalan YDP dan naib YDP Pas kawasan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast