Pemilik Bawal Exclusive, Haliza Maysuri bercakap pada sidang media mengenai keputusan saman fitnah dan dakwaan berniat jahat Bawal Exclusive Sdn Bhd di Majestic Hotel, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 JUNE 2025

KUALA LUMPUR – Pemilik jenama terkenal Bawal Exclusive, Haliza Maysuri  tampil pada sidang media khas hari ini dengan mengenakan sehelai tudung bernilai RM70,000.

Ia sebagai simbolik kepada kemenangannya dalam saman fitnah terhadap bekas pengedar produknya, Rosmaliza Mansor semalam.

Haliza berkata, tudung eksklusif yang direka khas itu mewakili harga maruah dan reputasinya yang cuba dijatuhkan melalui kenyataan fitnah kononnya disebarkan Rosmaliza di media sosial.

“Saya tak pernah pakai tudung harga RM70,000 sebelum ini walaupun pelanggan saya pernah beli tudung harga RM20,000 hingga RM50,000.

“Tapi hari ini saya pakai sempena kemenangan saman sebanyak RM70,000 semalam. Tudung ini menunjukkan bahawa jenama ini tidak boleh diusik,” katanya dalam sidang media yang berlangsung di sini hari ini.

Pemilik Bawal Exclusive, Haliza Maysuri bersama Peguam, Datuk Adnan Seman bergambar selepas sidang media mengenai keputusan saman fitnah dan dakwaan berniat jahat Bawal Exclusive Sdn Bhd di Majestic Hotel, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 JUNE 2025

Beliau menjelaskan, tindakan undang-undang itu diambil selepas Rosmaliza yang merupakan bekas pengedar sah Bawal Exclusive dari 2017 hingga 2022.

Rosmaliza sebelum ini telah membuat kenyataan didakwa fitnah di Facebook dengan memperlekehkan penggunaan media sosial oleh syarikatnya termasuk Haliza sendiri dalam memasarkan produk.

Menurut Haliza, ia soal maruah saya dan jenamanya.

“Saya dan suami bangunkan jenama ini dari bawah, dari bilik kecil, tanpa perlindungan, tanpa ratusan pekerja atau peguam hebat. Ini jenama yang dibina dengan air mata dan peluh,” ujarnya.

Kenyataan Rosmaliza, menurutnya, bukan sekadar kritikan biasa daripada netizen tetapi berbentuk fitnah yang mempunyai motif jahat untuk menjatuhkan reputasi syarikat.

“Kalau komen nakal netizen di TikTok itu biasa. Tapi ini bukan komen biasa. Ini kenyataan berniat jahat dan bila orang baca, jelas niatnya untuk burukkan saya dan jenama saya. Itu sebab saya ambil tindakan,” tambahnya.

Menurut Haliza, tudung RM70,000 yang digayakan hari ini juga dibuat khas oleh pasukannya atas arahannya sebagai satu bentuk mesej jelas kepada sesiapa yang cuba menyentuh reputasi jenama yang telah dibina sejak 1998.

“Kalau sesiapa cuba jolok sarang tebuan, inilah balasannya. Saya tak pernah kacau sesiapa tapi tolong jangan sentuh jenama ini. Dengan jenama inilah saya cari rezeki. Dengan jenama inilah saya dikenali,” tegasnya.

Haliza turut berkongsi bagaimana Bawal Exclusive kini menjadi antara penyumbang utama kepada jenama kristal antarabangsa Swarovski hasil kerjasama yang terjalin apabila syarikat itu sendiri menawarkannya sebagai rakan niaga rasmi.

“Swarovski datang kepada kita, bukan kita cari mereka. Kita jadi top 10 contributor kepada Swarovski. Tapi ini semua tak berlaku dalam sehari. Saya tak minta dipuji, saya tak minta dihargai tapi tolong hormati usaha kami,” tambahnya.

Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan pada 1 Januari lalu memerintahkan Rosmaliza menarik balik kenyataan fitnahnya dan menghalangnya daripada mengulangi dakwaan tersebut.

Mahkamah kemudiannya pada 22 Jun 2025 mengarahkan Rosmaliza membayar RM70,000 sebagai ganti rugi kepada Bawal Exclusive Sdn. Bhd. dan Haliza secara peribadi.

Rosmaliza turut diperintah melunaskan tunggakan RM570 kepada syarikat atas satu invois tertunggak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast