Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

SHAH ALAM – Mana-mana UMNO Bahagian mempunyai hak untuk mengemukakan sebarang usul termasuk menarik semula penggantungan keahlian Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, usul tersebut bukan sesuatu yang dilarang malah UMNO sedia meraikan semua pandangan di semua peringkat kepimpinannya

“Semua UMNO Bahagian boleh buat usul mereka. Tak ada masalah. Ia akan dikumpulkan untuk (dipertimbangkan).

“Saya rasa sesiapa boleh buat dia orang punya permohonan, itu hak mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menyambut baik cadangan UMNO Bahagian Sembrong yang mahu penggantungan keahlian Hishammuddin itu ditarik semula.

Azleen berkata, cadangan itu dilihat sebagai satu usaha ikhlas dan membina untuk memperkukuh parti, bukan sahaja di peringkat bahagian dan negeri, malah di peringkat nasional.

Selain itu, Azalina mengakui, tindakan UMNO Bahagian Sembrong itu merupakan sebahagian daripada budaya parti Melayu itu yang sentiasa terbuka dengan sebarang pandangan akar umbinya.

“UMNO seperti mana parti-parti politik. Memang, dia adalah parti yang mempunyai cara mereka sendiri.

“Parti akan (pertimbangkan) apa juga permohonan (usul),” katanya.

Katanya lagi, setakat ini pihaknya masih tidak menerima sebarang usul mahupun permohonan melibatkan bekas naib presidennya itu.

“Setakat ini, saya tak jumpa apa-apa permohonan lagi. Saya tak nampak apa-apa permohonan.

“Mungkin dalam mesyuarat (UMNO) pengurusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast