UMS dan McDermott menjalin kerjasama yang bakal memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan serta pengukuhan kapasiti serantau di Sabah.

KOTA KINABALU – McDermott, sebuah syarikat antarabangsa berpangkalan di Amerika Syarikat, dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeterai satu Surat Hasrat (LoI) bagi menjalin kerjasama dalam inisiatif akademik dan industri yang bakal memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan serta pengukuhan kapasiti serantau di Sabah.

LoI tersebut merangkumi kerangka kerjasama jangka panjang yang akan melibatkan empat fakulti di UMS, iaitu Fakulti Komputeran dan Informatik, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Sains dan Teknologi, serta Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan.

Kerjasama itu termasuk penempatan industri untuk pelajar, penyelidikan bersama, projek pendidikan serta pembangunan kokurikulum bagi menyokong pembentukan tenaga kerja yang lebih mahir dan bersedia untuk industri.

Majlis pemeteraian LoI tersebut telah berlangsung bersempena dengan Persidangan dan Pameran Energy Asia 2025 yang diadakan baru-baru ini di Kuala Lumpur, dan turut disokong oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam usaha memperkukuh komitmen terhadap kandungan tempatan di negara ini.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, menerusi kerjasama itu, UMS dan McDermott berhasrat menyelaraskan pembelajaran akademik dengan keperluan industri, selain merapatkan jurang kemahiran dan menyokong pertumbuhan mampan.

“Ini menyokong matlamat kami untuk melahirkan graduan berimpak tinggi yang bersedia untuk menyumbang dalam sektor tenaga. Kepimpinan industri McDermott serta fokusnya yang jelas terhadap pembangunan serantau menjadikan kerjasama ini langkah yang bermakna ke arah memperluas peranan Sabah dalam ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan McDermott bagi Kemudahan Dasar Laut dan Terapung, Mahesh Swaminathan berkata, kerjasama ini mencerminkan pelaburan berterusan McDermott dalam masa depan Malaysia.

“Ini dilaksanakan dengan menyokong kerjasama akademik-industri dan memperkukuh keupayaan tempatan, khususnya di Sabah. Usaha ini selari dengan pelbagai inisiatif pembangunan kandungan tempatan dan tenaga kerja yang telah dilaksanakan di rantau ini, dan mengukuhkan komitmen
kami untuk memperluas peluang di kawasan yang paling memerlukan,” katanya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Promosi dan Pemudahcara Pelaburan) MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja menambah, kolaborasi tersebut
merupakan contoh terbaik tentang bagaimana industri dan akademia boleh bekerjasama dalam menyokong visi Malaysia untuk menjadi hab serantau bagi bakat bernilai tinggi dan inovasi.

“Fokus McDermott terhadap pembangunan kapasiti turut menyokong matlamat nasional untuk membangunkan sektor tenaga yang kompetitif dan inklusif di
peringkat serantau,” ujar beliau.

Inisiatif kolaborasi antara kedua-dua organisasi itu turut menyokong perkongsian ilmu, aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), serta penyelidikan yang sejajar dengan keperluan industri dan menyumbang kepada usaha negara untuk pertumbuhan inklusif dan pembangunan berpaksikan inovasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast