JOHOR BAHRU – Seorang lelaki merempuh sebuah kereta dipandu warga emas tiga kali selepas mereka bertengkar di Susur 6 Jalan Tun Razak, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, perbuatan tersebut berlaku pada pukul 3.10 petang dan tular dalam media sosial.
“Kejadian tersebut berlaku apabila mangsa iaitu seorang lelaki berusia 63 tahun memandu Perodua Axia memperlahankan keretanya kerana terlepas simpang.
“Suspek yang memandu Toyota Hilux ketika itu berada di belakang. Suspek yang berusia 50 tahun kemudian memotong Perodua Axia secara agresif,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, tindakan tersebut mencetuskan pertengkaran mulut antara mereka.
“Suspek kemudian bertindak merempuh keretan mangsa secara mengundurkan kenderaannya sebanyak tiga kali sebelum cuba melarikan diri,” katanya.
Raub berkata, akibat kejadian itu, pemandu Perodua Axia mengalami kerugian sebanyak RM15,300 kerana kerosakan dialami keretanya.
Suspek katanya, kemudian berjaya diberkas pihak polis semalam dan semakan rekod mendapatinya mempunyai tujuh kesalahan lampau bersabit kes jenayah.
Ujian urin mendapati dia negatif dadah katanya dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Polis Daerah Johor Bahru Selatan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pemanduan cuai dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323.
Sebelum itu tular video berdurasi 8 saat memaparkan sebuah pacuan empat roda melanggar sebuah kereta berulang kali sebelum beredar dari lokasi kejadian.- MalaysiaGazette
















