JOHOR BAHRU – Ranhill SAJ akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan berkaitan dakwaan tekanan air rendah menjadi punca sebuah syarikat rugi jutaan ringgit selepas gudangnya di Kluang terbakar, April lalu.
Operator air Johor itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan.
“Kerjasama itu termasuk memberi laporan lengkap bagi membantu siasatan,” menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan syarikat itu di sini, hari ini.
Ranhill SAJ menegaskan bahawa pihaknya sentiasa komited dalam memastikan sistem bekalan air terawat berada dalam keadaan optimum.
“Ini termasuk memastikan semua keperluan penting termasuk kemudahan bagi operasi kecemasan berada dalam keadaan baik,” katanya.
Ranhill SAJ turut menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden tersebut.
”Sebarang spekulasi hanya akan mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan,” tambah kenyataan itu.
Terdahulu portal ini melaporkan Pengarah Li Ta Distribution Sdn Bhd, Lee Yin Cong mendakwa, kegagalan beberapa pili bomba di Jalan Ungku Omar di bandar Kluang berfungsi menyebabkan kerugian jutaan ringgit selepas gudangnya terbakar April lalu.
Dakwanya, kebakaran itu berlaku pukul 12 tengah hari pada 4 April lalu dan mulanya proses pemadaman berjalan dengan baik.
“Bomba tiba ke lokasi 10 minit sebaik selepas dihubungi. Namun apabila cuba menggunakan pili bomba berhampiran gudang yang terbakar, ia gagal mengeluarkan air pada kadar kapasiti diperlukan.
“Ini secara telah menghadkan proses memadamkan kebakaran sehingga menyebabkan api gagal dikawal dan merebak ke banyak tempat dalam stor lalu mengakibatkan kerugian jutaan ringgit,” katanya.
Dakwanya, lebih mengejutkan adalah jawapan pihak Ranhill SAJ yang mengatakan pihaknya tidak boleh membekalkan air secara kapasiti yang banyak kerana bimbang paipnya akan pecah akibat tekanan tinggi.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Shukor berkata, pili bomba di jalan itu dalam keadaan baik dan boleh digunakan ketika kebakaran tersebut berlaku.
Namun katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Ayer Hitam, Renggam serta Pasukan Bomba Sukarela Kahang menghadapi masalah tekanan air yang rendah di pili bomba berkenaan.
“Keadaan ini menyebabkan kadar tekanan air bagi pemadaman agak rendah dan atas faktor itu pasukan bomba menggunakan pam daripada jentera bagi membantu peningkatan kadar tekanan air.
“Pasukan keluaran operasi (PKO) juga telah menghubungi Ranhil SAJ berkaitan tekanan air rendah itu namun dimaklumkan tekanan air tidak dapat ditingkatkan kerana saluran paip lama dan boleh menyebabkan saluran tersebut pecah,” katanya.- MalaysiaGazette
















