Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hadir pada Pembentangan Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2023.

JOHOR BAHRU – UMNO yang didakwa kini berada di persimpangan memerlukan kebijaksanaan, pengalaman dan perpaduan seluruh tenaga untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Lantaran itu, kehadiran semula tokoh nasional UMNO seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang kini berada di luar parti amat diperlukan.

Ketua Wanita UMNO Johor, Asiah Md Ariff berkata, penggantungan keahlian bekas Naib Presiden UMNO itu perlu ditarik balik seperti yang disuarakan Menteri Besar Johor merangkap Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi Sabtu lalu.

“Sokongan ini bukan bersifat peribadi, tetapi didorong oleh pertimbangan strategik dan kepentingan parti menjelang PRU-16. Tokoh-tokoh UMNO terbukti berkesan di medan perjuangan politik,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Hishammuddin telah membuktikan kemampuannya sebagai pemimpin yang berwibawa, berpengaruh dan strategik.

Di bawah pimpinan beliau,  UMNO bukan sahaja berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong, malah menang semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan tersebut dalam pilihan raya lalu.

Itu merupakan satu pencapaian luar biasa yang tidak boleh dipandang ringan dalam konteks landskap politik semasa.

“Beliau juga merupakan tokoh nasional yang memiliki rangkaian hubungan politik dan pengalaman pentadbiran yang luas, faktor penting yang boleh membantu UMNO menghadapi PRU-16 dengan lebih bersedia, tersusun dan diyakini rakyat,” katanya.

Wanita UMNO Johor katanya, percaya masa depan parti hanya boleh dipertahankan melalui perpaduan dan penglibatan semula semua aset politik parti.

“Sekarang bukan masa untuk menyisihkan, tetapi masa untuk menggembleng kekuatan. Tindakan untuk menyatukan kembali tokoh-tokoh penting seperti Datuk Seri Hishammuddin adalah langkah ke hadapan untuk memastikan kemenangan UMNO dalam pilihan raya akan datang,” tambahnya.

Menurutnya, Wanita UMNO Johor juga mendesak agar pucuk pimpinan parti memberikan pertimbangan serius terhadap usul terbabit demi kelangsungan serta masa depan UMNO yang lebih kuat, inklusif dan bersatu.

Sabtu lalu, UMNO Bahagian Sembrong menyatakan hasrat agar Hishammuddin yang juga bekas Ketua Bahagian itu diterima semula dalam kepimpinan parti.

Perkara itu disuarakan secara terbuka dalam mesyuarat UMNO Bahagian Sembrong dan Onn Hafiz yang merasmikan mesyuarat tersebut dilaporkan berkata, akan mebawa usul tersebut kepada pucuk pimpinan parti.

Untuk rekod, Ahli Parlimen Sembrong itu digantung selama enam tahun bermula 27 Januari 2023 atau dua penggal pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Surat bertarikh 30 Januari 2022 itu ditandatangani Datuk Seri Ahmad Maslan yang bertindak sebagai Setiausaha Agung UMNO ketika itu.

Selain Hishammuddin, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan turut digantung keahlian selama enam tahun.

Bagaimanapun pada 11 Disember lalu, media melaporkan Hishammuddin mengulangi pendirian untuk tidak merayu keputusan penggantungan keahliannya.

Ini selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selama enam tahun ditarik balik selepas menghantar empat kali surat rayuan untuk kembali bersama parti.

Ketika ditemui pemberita di Dewan Rakyat, Hishamuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong itu menegaskan beliau tidak akan mengemukakan rayuan untuk kembali kepada UMNO, atas alasan sehingga ke hari ini tidak tahu punca penggantungannya selama enam tahun.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. dia tidak boleh dipercaya kerans jelas gunting dalam lipatan dan tidak boleh dipercayai. sepatutnya dibiatkan gantung tak bertali

Comments are closed.