Negara-negara Arab tutup ruang udara sementara susulan serangan Iran terhadap pangkalan tentera AS di Qatar

ISTANBUL – Beberapa negara Arab menutup ruang udara mereka buat sementara waktu lewat malam Isnin (23 Jun 2025) sebagai langkah berjaga-jaga susulan ketegangan yang memuncak di rantau itu berikutan serangan peluru berpandu oleh Iran ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Qatar.

Laporan media tempatan menyebut, Kementerian Luar Negeri Qatar mengumumkan penutupan ruang udara negara itu, dengan alasan untuk menjaga keselamatan rakyat, penduduk dan pelawat di tengah-tengah ketidaktentuan serantau yang semakin meningkat.

Jabatan Hal Ehwal Penerbangan Awam Bahrain turut mengesahkan penggantungan navigasi udara di seluruh wilayahnya sebagai reaksi terhadap perkembangan semasa.

Di Kuwait, Direktorat Jeneral Penerbangan Awam mengarahkan penutupan sementara ruang udara, menyebabkan Kuwait Airways menggantung semua penerbangan.

Kementerian Pengangkutan Iraq juga menutup ruang udara negara itu, termasuk kawasan selatan, sekali gus menghentikan semua trafik udara masuk dan keluar.

Oman Air dalam satu kenyataan berkata, ia telah menggantung penerbangan ke dan dari Manama, Dubai, Doha dan Kuwait berikutan situasi serantau. Syarikat penerbangan itu turut memberi amaran kemungkinan berlaku kelewatan dalam rangkaian penerbangannya yang lebih luas disebabkan laluan penerbangan yang lebih panjang.

Sementara itu, EgyptAir mengumumkan pembatalan perkhidmatan antara Kaherah dan beberapa bandar Teluk, sambil menyatakan bahawa operasi hanya akan disambung semula apabila keadaan keselamatan bertambah baik.

Gelombang penutupan ruang udara ini berlaku selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu secara besar-besaran ke atas Pangkalan Udara Al Udeid milik tentera AS di Qatar pada Isnin.

Serangan itu menyusuli serangan AS pada Ahad (22 Jun) ke atas tiga kemudahan nuklear Iran – Fordow, Natanz dan Isfahan – yang menandakan peningkatan mendadak dalam permusuhan.

Bagaimanapun, sejak itu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa Iran dan Israel telah bersetuju untuk melaksanakan “gencatan senjata sepenuhnya”.

Perkembangan ini merupakan sebahagian daripada peningkatan konflik yang lebih meluas dalam kempen yang disokong AS oleh Israel terhadap Iran yang bermula pada 13 Jun lalu. – Bernama-Anadolu

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast