KOTA TINGGI – Seorang pemuda yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Kompleks Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid), Pengerang maut dalam kemalangan di Kilometer 19 Jalan Bandar Penawar-Punggai di sini hari ini.
Kemalangan tersebut mengorbankan Mohd Syaiful Azizi Sariff yang berusia 30 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan tersebut pukul 10 pagi hasil daripada maklumat orang awam.
“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang mangsa, seorang lelaki tempatan. Mangsa yang datang dari Penawar ke Rapid hilang kawalan dan terbabas sendiri.
“Akibatnya mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Bayu Damai,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, mayat mangsa dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
Beliau memberitahu, kes masih dalam siasatan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.
Tegas beliau, pesalah trafik itu juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.- MalaysiaGazette
















