PASIR GUDANG – Polis sedang memburu seorang lelaki yang mencuri sepasang sport rim motosikal selepas menceroboh sebuah rumah di Taman Pasir Putih di sini semalam sebelum perbuatannya itu tular.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 6.24 petang dan dirakam rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di rumah terbabit.
“Polis Seri Alam mengesan satu video yang tular dimuat naik dalam satu Facebook berdurasi 14 saat berkaitan rakaman memaparkan kejadian seorang individu menceroboh pagar sebuah rumah dan mencuri sepasang spot rim motosikal.
“Polis kemudian menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun mengenai insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Kes juga katanya, disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan penjara setahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.
“Polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan suspek, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Alham Mohd Hakim 017-7563884 atau 07-38642222 bagi membantu siasatan,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















