Dr Aminuddin beramah mesra dengan pelajar dalam Majlis Pelancaran Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kampung Tengah, Kluang, semalam.

KLUANG – Sekolah Angkat Madani berpotensi menjadi platform menyedia dan melahirkan pelajar sekolah yang mahir serta mempunyai kepakaran dalam sektor digital.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, pelajar akan diberi penekanan terhadap pembelajaran yang berasaskan teknologi.

Jelasnya, inisiatif tersebut akan menjadikan mereka cekap untuk menggunakan gajet dan peranti digital sebelum melangkah ke universiti kelak.

“Usaha ini adalah selaras dengan perkembangan negara yang kini mula berasaskan teknologi seterusnya bakal melangkah menjadi negara maju.

“Sebelum ini Perdana Menteri telah mengumumkan 1,000 sekolah di peringkat rendah serta menengah terlibat dalam inisiatif Sekolah Angkat Madani ini dan kita di KPM kini telah mengenal pasti 790 sekolah untuk melaksanakannya.

“Untuk tujuan itu kita telah berbincang (dengan Kementerian Kewangan serta peneraju industri dan korporat) dengan menambah baik beberapa keperluan yang berkaitan dengan pendigitalan selain Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kampung Tengah di sini semalam.

Katanya, sehingga kini 50 peneraju industri dan korporat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menjayakannya dan juga menumpu kepada pengenalan pembelajaran baharu seperti kecerdasan buatan (AI).

“Pelaksanaan Sekolah Angkat Madani juga akan memberikan tumpuan kepada lima teras utama iaitu penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan sekolah, program akademik, latihan dan pembagunan guru, bantuan kewangan dan biasiswa,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast