Anggota bomba membantu seorang kelindan selepas lori dinaikinya terlibat nahas di Lebuh Raya Utara Selatan, Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT – Seorang kelindan maut selepas lori dinaikinya terlibat nahas dengan sebuah treler di Kilometer 79.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di sini hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan II Nazrul Rahman Rosdi berkata, kejadian pukul 8.55 pagi itu melibatkan lori jenis Hino lima tan yang membawa aksesori tandas dan treler jenis Volvo membawa muatan dry mixer.

Beliau memberitahu, seramai enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, kita dapati kejadian melibatkan tiga mangsa iaitu pemandu treker berusia 34 tahun, pemandu lori berusia 40 tahun manakala kelindan kepada lori berusia 26 tahun.

“Kedua-dua pemandu lori dan treler selamat namun kelindannya meninggal dunia akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Katanya, anggota bomba membantu mengangkat mangsa di lokasi kejadian setelah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang datang sejurus kejadian berlaku.

Mayat ujarnya, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pukul 9.10 pagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast