TEHRAN – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengumumkan “berakhirnya perang 12 hari” dan menggesa semua agensi kerajaan serta institusi revolusi agar menumpukan sepenuhnya usaha kepada kerja-kerja pemulihan.
“Hari ini, selepas ketabahan anda yang berani dan bersejarah, kita menyaksikan satu gencatan senjata dan tamatnya perang 12 hari yang dipaksakan ke atas bangsa Iran akibat tindakan rejim zionis.
“Musuh agresif telah gagal mencapai matlamat jahatnya untuk memusnahkan fasiliti nuklear dan melemahkan ilmu nuklear, serta mencetuskan kekacauan sosial,” kata Pezeshkian dalam perutusannya kepada rakyat Iran selepas gencatan senjata berkuat kuasa.
Sebaliknya, kata beliau, pencerobohan itu telah meruntuhkan “mitos kehebatan tidak terkalah” Israel dan sekutunya, berserta kemusnahan besar terhadap fasiliti dan pusat penting di wilayah yang diduduki.
Keadaan itu, jelas beliau, menghantar mesej penting kepada dunia bahawa harga untuk mencabar Iran yang hebat adalah amat tinggi.
Dalam satu panggilan telefon dengan Presiden Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, pada Selasa, Pezeshkian berkata, negaranya bersedia menyelesaikan isu-isu melalui kerangka antarabangsa dan di meja rundingan.
Amerika Syarikat dan Israel, katanya, berusaha untuk mencetuskan perpecahan dan permusuhan dalam kalangan negara-negara Islam, sambil menegaskan Iran berhasrat memperkukuh perpaduan dan keamanan serantau serta menganggapnya asas penting untuk mempercepat pembangunan.
Pada 13 Jun, Israel telah melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas beberapa kawasan di Iran, termasuk tapak nuklear dan ketenteraan, yang mengorbankan komander kanan, saintis nuklear, dan orang awam.
Iran membalas dengan beberapa gelombang serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel, menyebabkan korban dan kerosakan besar.
Pada Sabtu, tentera udara AS mengebom tiga tapak nuklear Iran diFordow, Natanz, dan Isfahan.
Sebagai tindak balas, Iran pada Isnin menyerang Pangkalan Udara Al Udeid milik AS di Qatar dengan peluru berpandu.
Berikutan serangan balas Iran itu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan a gencatan senjata antara kedua-dua pihak akan bermula sekitar jam 0400 GMT hari Selasa.
Iran dan Israel kemudiannya mengesahkan permulaan gencatan senjata tersebut. – Agensi
















