KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Pusat menyeru semua pihak khususnya badan kehakiman, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan pihak eksekutif bertindak dengan penuh tanggungjawab, telus dan profesional dalam menangani isu dakwaan wujudnya campur tangan dalam urusan kehakiman negara.
Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pihaknya menggesa supaya tidak ada sebarang usaha `menyapu isu ini ke bawah karpet’ atau mengheret institusi kehakiman ke dalam kancah polemik politik sempit.
Menurut beliau, dakwaan wujudnya campur tangan dalam urusan kehakiman negara bukan sahaja mencemarkan kredibiliti institusi kehakiman malah berpotensi menggugat kepercayaan awam terhadap sistem keadilan negara.
“Pemuda Pas menyokong penuh gesaan oleh Badan Peguam Malaysia agar satu pendedahan rasmi dan telus dilakukan bagi memastikan kesahihan laporan tersebut termasuk cadangan untuk mendapatkan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) melalui saluran perundangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Afnan Hamimi, kebebasan institusi kehakiman asas kedaulatan undang-undang, justeru wajib dipertahankan daripada sebarang pengaruh politik, eksekutif mahupun pihak berkepentingan ekonomi.
Sebarang bentuk gangguan terhadap integriti institusi kehakiman sama ada secara langsung atau tersirat adalah satu bentuk pencabulan terhadap Perlembagaan dan harus disiasat secara terbuka, menyeluruh dan segera.
”Jika laporan ini benar, maka ia adalah isyarat jelas bahawa terdapat usaha terancang untuk mengawal keputusan kehakiman bagi kepentingan tertentu, yang amat berbahaya kepada amalan demokrasi dan keadilan negara.
“Namun jika laporan ini tidak benar, pembersihan reputasi kehakiman juga wajib dilakukan secara adil dan telus, agar nama institusi kehakiman tidak terus tercemar oleh persepsi awam,” katanya.
Tegas beliau, Pemuda Pas akan terus memantau perkembangan isu terbabit dan akan memainkan peranan sewajarnya untuk memastikan kebenaran ditegakkan dan kebebasan institusi kehakiman dipertahankan sepenuhnya. – MalaysiaGazette
















