KUALA LUMPUR – Parti Progresif Penduduk (PPP) menggesa kerajaan menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap tahap keselamatan di semua institusi pengajian tinggi (IPT) susulan kejadian pembunuhan tragis seorang pelajar wanita di sebuah asrama universiti swasta di Cyberjaya baru-baru ini.
Presiden PPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan menyifatkan insiden tersebut sebagai mengerikan selain menegaskan tiada masyarakat bertamadun yang boleh membiarkan anak-anak perempuan menjadi mangsa kekejaman sebegitu.
“Berita pembunuhan ini bukan sahaja menggemparkan negara malah membuka mata kita semua terhadap betapa pentingnya keselamatan di institusi pendidikan.
”Saya secara peribadi sangat terkesan setiap kali mendengar insiden keganasan terhadap wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Loga Bala, tragedi itu membuktikan masih wujud kelemahan ketara dalam sistem keselamatan kampus khususnya melibatkan pengawasan asrama.
“Kerajaan perlu segera melaksanakan pemeriksaan keselamatan di semua institusi pengajian, tanpa mengira status awam atau swasta. Langkah ini tidak boleh ditangguhkan lagi,” tegasnya.
Beliau turut mencadangkan agar pelaksanaan langkah keselamatan yang komprehensif termasuk pemasangan sistem kamera litar tertutup di kawasan strategik serta penempatan pengawal keselamatan yang mampu memantau pergerakan keluar masuk kampus dan asrama.
Dalam pada itu, Loga Bala turut menggesa polis mempercepatkan siasatan bagi membawa pelaku ke muka pengadilan.
“Ini merupakan jenayah serius. Pelaku tidak boleh dibiarkan bebas. Keadilan untuk mangsa mesti ditegakkan. Kami di PPP mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, kita doakan mendoakan agar keluarga mangsa diberi kekuatan menghadapi detik sukar ini. Hati dan doa kami bersama mereka,” ujarnya.
Sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan mangsa berbangsa Punjabi berusia 20 tahun, berasal dari Kuching, Sarawak itu merupakan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi.
Difahamkan melalui sumber awal, mangsa tinggal bersendirian di bilik asrama berkenaan selepas lima rakan sebiliknya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu manakala mangsa tinggal kerana kerana dijadualkan menduduki peperiksaan dalam tempoh terdekat. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kes pelajar IPT ditemui mati, KPT tunggu laporan penuh siasatan
















