JOHOR BAHRU – Tindakan orang kena tuduh (OKT) memarahi dan mengugut jurugambar serta jurukamera yang mengambil foto serta video untuk liputan pendakwaan kesnya di Kompleks Mahkamah Johor Bahru semalam membawa padah.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, OKT berkenaan yang mengancam petugas media tersebut beberapa kali akan didakwa petang ini di bawah 506 Kanun Keseksaan.
“Ini kerana lelaki berkenaan mengeluarkan ugutan jenayah dengan niat menakutkan mangsa dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Kejadian tersebut berlaku pukul 9 pagi semalam semasa tiga petugas media daripada TV3 dan syarikat media tempatan lain sedang merakam pergerakan suspek di mahkamah.
“Suspek kemudian mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan berbunyi ‘kenapa rakam dekat bawah, nanti aku keluar aku cepuk kau…jangan buat aku marah, nanti aku sepak kau’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, ketiga-tiga petugas media tersebut terkejut dan merasa terancam sebelum bertindak membuat laporan polis.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) telah menahan suspek berusia 50 tahun di Bandar Baru Uda di sini hari ini untuk didakwa.
Hasil siasatan katanya, mendapati ugutan tersebut berlaku di tangga laluan ke bilik perbicaraan mahkamah.
“Suspek dilihat menutup muka ketika berjalan dan rakaman video yang diserahkan kepada pihak polis mengesahkan kata-kata ugutan tersebut,” ujar beliau.
Raub memberitahu, suspek merupakan individu yang sedang dibicarakan dalam kes samseng jalanan bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jelasnya, suspek telah menjelaskan kedua-dua denda iaitu RM13,000 bagi kes itu dan dibebaskan pukul 1.15 petang sebelum laporan ugutan dibuat.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek terlibat dalam beberapa kes lampau termasuk penipuan, fitnah dan ugutan jenayah.
“Polis menegaskan bahawa sebarang tindakan intimidasi atau ugutan terhadap wakil media yang sedang menjalankan tugas tidak akan ditoleransi. Keselamatan dan kebebasan media akan dilindungi,” katanya. – MalaysiaGazette
















