TANGKAK – Seorang warga emas yang melakukan kegiatan pecah rumah secara bersiri sekitar daerah ini berjaya diberkas dalam satu operasi khas di Melaka semalam.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak melakukan tangkapan tersebut hasil risikan dan maklumat yang diperoleh.
“Suspek merupakan lelaki tempatan berusia 60 tahun yang ditahan di sebuah pangsapuri di Taman Kesidang, Melaka pukul 3.10 petang.
“Hasil tangkapan membawa kepada rampasan pelbagai barangan mewah dan wang tunai dipercayai hasil kegiatan pecah rumah,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Tangkak, di sini, hari ini.
Pihaknya merampas 19 beg tangan berjenama Louis Vuitton, beberapa jam tangan mewah Patek Philippe, Omega dan Tag Heuer selain wang tunai ringgit Malaysia, dolar Singapura, dolar Amerika Syarikat serta Yuan China.
Jelasnya, turut dirampas termasuk peralatan yang digunakan untuk pecah rumah seperti pemutar skru, sarung tangan dan lampu suluh selain kenderaan jenis Hyundai Getz.
Beliau memberitahu, nilai keseluruhan rampasan bernilai RM300,000.
“Siasatan awal mendapati suspek mempunyai 39 rekod jenayah lampau, kebanyakanya berkaitan kes pecah rumah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Dengan tertangkapnya suspek pihak polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes pecah di kawasan Bukit Gambir dan Sungai Mati yang menyasarkan rumah-rumah Cina,” ujarnya.
Tambah beliau, suspek melakukan kegiatan itu secara sendirian sejak tiga tahun lalu di daerah ini dan siasatan masih dijalankan sana ada suspek terlibat kes pecah rumah di daerah atau negeri lain.
Roslan berkata, ujian saringan air kencing mendapatinya negatif dadah dan Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan suspek direman empat hari bermula hari ini.
Ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 14 tahun, katanya.
Bagi kesalahan kedua atau berulang katanya, pesalah boleh dikenakan hukuman denda atau sebat.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada orang awam atas maklumat yang disalurkan serta menyeru masyarakat agar terus memberi maklumat berkaitan kes jenayah di kawasan masing-masing. – MalaysiaGazette
















